Laporan 1MDB: PAC panggil Najib, Ali Hamsa, Arul Kanda

Najib, Ali Hamsa, Arul Kanda
Najib, Ali Hamsa, Arul Kanda
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan auditor yang menyiapkan laporan audit 1MDB pada 2016 yang didakwa telah ‘diubah’ akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selepas beberapa maklumat baharu didedahkan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kepada jawatankuasa itu, hari ini.

Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata selain pasukan itu, mereka yang akan dipanggil ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda.

Ambrin hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa itu sebagai saksi pertama dalam prosiding berkaitan perkara tersebut.

Ronald berkata Ambrin turut berkemungkinan akan dipanggil semula untuk memberikan keterangan ekoran beberapa pertanyaan yang timbul selepas pendedahan maklumat baharu olehnya.

“Ada nama-nama yang kita telah kenal pasti (sebelum ini), sekarang ini ada tambahan, pasukan auditor, pasukan itu akan dipanggil, ada nama-nama mereka, saya tidak ingat... ada kira-kira lima ke enam orang yang diberikan nama oleh Tan Sri (Ambrin),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas prosiding yang berlangsung kira-kira tiga jam itu selesai.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad dilapor mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB itu telah ‘dikeluarkan’ atas arahan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya butiran lanjut mengenai maklumat baharu itu, Ronald berkata ia tidak boleh didedahkan kepada umum sehingga siasatan selesai dan dibentang di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, jelasnya maklumat berkenaan berkisar perspektifnya sebagai Ketua Audit Negara yang membuat audit terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu dan sama ada laporan audit yang menjadi tanda tanya itu telah diubah atau tidak.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak akan menyentuh tentang siasatan terperinci 1MDB, cuma sama ada laporan itu telah diubah atau tidak,” katanya.

Ronald berharap kesemua siasatan PAC akan dapat dibentang di Dewan Rakyat pada sesi akan datang yang dijadual bermula pada Mac.

Ambrin dalam pada itu, enggan memberi komen kepada media dan segera beredar meninggalkan kumpulan media yang menunggu. - Bernama