Kes Covid-19 meningkat kepada 11,034 hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kes harian Covid-19 menunjukkan trend peningkatan dengan 11,034 dilaporkan pada Isnin, berbanding 10,089 yang direkodkan pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 2,925,254.

“Daripada 11,034 kes harian yang dilaporkan hari ini, 58 kes merupakan kategori tiga, empat dan lima manakala 10,974 kes terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan 135 manakala 81 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh yang direkodkan sebanyak 6,036 menjadikan jumlah kumulatif 2,818,650.

Tambah beliau, sebanyak 10 kluster baharu dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan 6,509.

“Daripada jumlah itu, 6,143 kluster telah tamat manakala 366 masih lagi aktif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sabah merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) tertinggi iaitu 1.47 melebihi Rt negara, 1.27.

Artikel Berkaitan:

Negeri lain yang turut mencatatkan Rt tinggi adalah Perlis (1.40) dan Sarawak (1.30).

Selain itu, Labuan, Putrajaya dan Kedah masing-masing mencatatkan Rt sama iaitu 1.25 diikuti Terengganu (1.23); Johor (1.22); Selangor (1.21); Pulau Pinang dan Pahang (1.20); Melaka (1.16); Perak (1.15); Negeri Sembilan (1.13); Kelantan (1.11) serta Kuala Lumpur (1.10).

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan jangkitan dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.