Sila log masuk terlebih dahulu.

Covid-19: Kes meningkat di Kedah akibat varian Omicron

Dr Othman (empat dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada Isnin.
Dr Othman (empat dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Peningkatan jumlah baharu Covid-19 di Kedah sehingga mencapai 904 kes pada Ahad dipercayai berpunca daripada gelombang Omicron.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, angka itu merupakan jumlah tertinggi dicatatkan dalam tempoh empat bulan di negeri ini.

Menurut Dr Othman, negara kini sedang mengalami gelombang jangkitan varian Omicron menyebabkan peningkatan kes baharu mendadak di seluruh negara dan rantau Asia Tenggara.

“Sungguhpun demikian, laporan CovidNow semasa menunjukkan kadar pengisian katil Covid-19 hospital di Kedah adalah pada kadar 12.1 peratus, manakala kadar kematian Covid-19 ialah 14 per 10 juta penduduk.

“Kita dapat lihat dengan adanya liputan imunisasi yang tinggi, walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19, namun kemasukan ke hospital dan kematian adalah masih rendah dan terkawal,”katanya.

Othman berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada Isnin.

Beliau memberitahu, majoriti kes baharu juga adalah dalam kategori ringan.

“Sehubungan itu, orang dewasa digalakkan mendapatkan suntikan penggalak, manakala kanak-kanak perlu mendapatkan suntikan vaksin melalui PICKids,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebelum ini, jangkitan kes Covid-19 didapati meningkat disebabkan kluster pendidikan yang berlaku di asrama sekolah.

“Sewaktu cuti sambutan Tahun Baharu Cina ini, kita dapati majoriti kes jangkitan bukanlah daripada kluster tetapi disebabkan kontak rapat dan saringan bergejala.

“Sukar untuk mendapatkan hubungan antara kes jangkitan berikutan bilangan kes baharu dikesan, namun ia memberi gambaran jangkitan sudah berada di mana-mana sahaja,”katanya.

Beliau mengingatkan orang awam untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam, melakukan penjarakan fizikal dan elakkkan tempat sesak.