Harga sektor perkhidmatan alami kenaikan

Indeks harga industri perkhidmatan makanan bergerak turut mencatatkan kenaikan.
Indeks harga industri perkhidmatan makanan bergerak turut mencatatkan kenaikan.
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) yang mengukur purata perubahan harga perkhidmatan dikenakan industri berkenaan di negara ini meningkat 0.5 peratus untuk suku tahun keempat 2021 kepada 110.7 berbanding 110.1 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan indeks itu didorong oleh kenaikan indeks penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman iaitu sebanyak 1.5 peratus dan pengangkutan (0.7 peratus).

Katanya, kenaikan indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak sebanyak 1.8 peratus mendorong kepada kenaikan indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan serta minuman.

“Susulan penarikan semula sekatan perjalanan dan pembukaan sektor pelancong yang berkuat kuasa pada pertengahan September 2021 juga mempengaruhi peningkatan bagi subsektor ini.

“Bagi subsektor pengangkutan, kenaikan ini didorong terutamanya oleh harga yang lebih tinggi dalam pengangkutan muatan melalui jalan raya (1.2 peratus) dan pengangkutan penumpang udara (0.8 peratus),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Subsektor lain turut merekodkan kenaikan menurut Mohd Uzir ialah aktiviti hartanah sebanyak 0.6 peratus diikuti pendidikan (0.5 peratus), kesihatan (0.2 peratus) dan profesional (0.1 peratus).

Bagaimanapun, beliau berkata, indeks bagi subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi menunjukkan penurunan sebanyak 0.2 peratus manakala indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah.

Mohd Uzir memaklumkan bahawa secara keseluruhan pada tahun 2021, IHPRP meningkat sebanyak 0.3 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Mohd Uzir
Mohd Uzir

Dalam pada itu, bagi bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, beliau berkata, IHPRP meningkat kepada 0.2 peratus dan ia disumbang oleh subsektor pengangkutan (0.8 peratus), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan serta minuman (0.7 peratus) dan aktiviti hartanah (0.2 peratus).

“Kenaikan dalam subsektor Pengangkutan disumbangkan terutamanya oleh pengangkutan penumpang udara yang mana meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding 1.0 peratus yang direkodkan pada suku ketiga 2021.

“Indeks bagi subsektor profesional, pendidikan dan kesihatan masing-masing mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus.

“Namun begitu, indeks bagi kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan penurunan sebanyak 2.2 peratus disebabkan oleh penurunan aktiviti perjudian dan pertaruhan manakala indeks bagi subsektor maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah” ujarnya.