Henti pembangunan Tanah Tinggi Kinta elak konflik hidupan liar

Sebelum ini tular video berdurasi 17 saat dikongsi seorang pengguna TikTok yang memaparkan seekor harimau merayau di kawasan semak berbukit. Gambar kecil: Meor Razak
Sebelum ini tular video berdurasi 17 saat dikongsi seorang pengguna TikTok yang memaparkan seekor harimau merayau di kawasan semak berbukit. Gambar kecil: Meor Razak
A
A
A

IPOH - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa negeri Perak menghentikan sebarang penerokaan dan pembangunan di kawasan Tanah Tinggi Kinta, di sini bagi mengelak konflik dengan hidupan liar.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kemunculan harimau belang yang berkeliaran berhampiran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands mungkin disebabkan pembangunan di kawasan tanah tinggi tersebut.

Menurutnya, SAM bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar sebelum ini sudah mengemukakan bantahan melalui Rancangan Tempatan Daerah agar status tanah hutan di kawasan tersebut tidak ditukar untuk tujuan pembangunan lain kerana akan mengganggu habitat hidupan liar di kawasan tersebut.

"Kita tahu kawasan-kawasan berhampiran seperti Cameron Highlands dan Lojing sudah tidak lagi mempunyai hutan.

Jadi haiwan liar ini keluar mencari habitat baharu dan mereka masuk ke Perak kerana kita masih ada hutan.

"Tetapi apabila haiwan liar seperti harimau belang keluar, itu menunjukkan tanda-tanda bahawa habitat haiwan ini mula terganggu dan jika tidak ditangani akan mencetuskan konflik dengan manusia," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Meor Razak berkata, sebarang bentuk pembangunan yang dirancang di kawasan Tanah Tinggi Kinta perlu dihentikan bagi memastikan habitat haiwan liar di kawasan itu tidak lagi terganggu.

Menurutnya, ia selaras titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun 2018 agar semua aktiviti di kawasan tanah tinggi bersempadan dengan Cameron Highlands dihentikan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehubungan itu, pihak berkuasa negeri digesa supaya tidak meluluskan lagi cadangan pembangunan dan pengubahan guna tanah di kawasan tanah tinggi Kinta yang bersempadan Cameron Highlands.

Pada Sabtu, Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menyiasat video yang tular memaparkan seekor harimau belang berkeliaran di kawasan semak berhampiran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini.

Video berdurasi 17 saat itu dimuat naik ke dalam akaun seorang pengguna TikTok memaparkan seekor harimau sedang merayau di kawasan semak berbukit.

Menurut maklumat yang dikongsi di dalam video itu, kejadian dikatakan berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berdekatan sebuah restoran.

Bagaimanapun pada Ahad, jabatan itu memaklumkan Unit Harimau yang ke lokasi itu tidak melihat kelibat haiwan tersebut dan masih meneruskan pemantauan bagi memastikan keselamatan orang ramai serta harimau belang itu.