'Nyawa pesakit lagi penting'

Mohd Fariz (tengah) sewaktu menerima lawatan Isnaraissah (kanan) dan Mohamad Azhar (dua, kiri) di Kluang.
Mohd Fariz (tengah) sewaktu menerima lawatan Isnaraissah (kanan) dan Mohamad Azhar (dua, kiri) di Kluang.
A
A
A

KLUANG - "Ketika itu saya hanya fikirkan keadaan pesakit dan mahu sampai ke hospital sahaja," kata pemandu ambulans, Mohd Fariz Anuar, yang dianggap hero selepas membantu menyelamatkan mangsa pencemaran sisa bahan kimia di Pasir Gudang, baru-baru ini.

Mohd Fariz, 43, yang bertugas untuk Klinik Kesihatan Pasir Gudang berkata, ketika kejadian pada 7 Mac lalu, dia antara individu terawal sampai ke lokasi kejadian di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, sebelum tidak sedarkan diri di Hospital Sultan Ismail (HSI), dia sempat berulang-alik membawa pesakit iaitu pelajar sekolah sebanyak tiga kali ke hospital dan tidak mengetahui terdapat pencemaran sisa bahan kimia di kawasan berkenaan.

"Dalam perjalanan ke hospital kali pertama dan kedua, saya tidak rasa apa-apa, tapi apabila perjalanan kali ketiga yang membawa pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhampiran Sungai Kim-Kim, badan saya sudah rasa lain macam.

"Ketika itu kepala saya mula pening dan dada rasa sesak sehingga sukar bernafas dan sempat beritahu pegawai perubatan di dalam ambulans tentang keadaan diri saya dan hanya ALLAH sahaja yang tahu apa yang saya rasa ketika itu," katanya.

Dia berkata kepada pemberita semasa menerima lawatan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis dan Ketua Setiausaha MESTECC, Datuk Seri Mohamad Azhar Yahya di Kampung Paya Dalam, di sini, semalam.

Katanya, sewaktu tiba di hospital, dia sempat menurunkan pesakit dan menolaknya ke tempat rawatan sebelum mengadu kepada pegawai perubatan dan tidak sedarkan diri.

"Saya baru keluar wad semalam (kelmarin) dan mengikut kata isteri, Hanisah Alias, (44) dan doktor, saya tidak sedarkan diri selama empat hari dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI dan sekarang saya diberikan cuti sakit sehingga 24 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini saya hanya mahu sihat seperti sediakala dan saya turut menjalani dialisis buah pinggang bagi membersih dan menyingkir racun yang mengancam organ berkenaan dan ini kejadian pertama sepanjang hampir 24 tahun saya menjadi pemandu ambulans," katanya.

Bapa empat anak itu berkata, dia juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melawatnya sewaktu sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Isnaraissah berkata, beliau mewakili kementeriannya mengucapkan terima kasih di atas keberanian Mohd Fariz dan menyifatkan tindakan lelaki tersebut sebagai hero dan perlu dijadikan contoh oleh masyarakat.