Tuah ikan daun baru

Juara pertandingan, Mohamad Faizul Mohamad Ali, 37, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM70,000.
Juara pertandingan, Mohamad Faizul Mohamad Ali, 37, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM70,000.
A
A
A

MELAKA - Anak jati Tanjung Kling membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM70,000 setelah menjuarai pertandingan memancing Malaysia Surfcasting Tour...A Journey To Visit Malaysia 2020 pusingan pembuka tirai di Pantai Puteri di sini, semalam.

Bekerja sebagai pemandu peribadi di sebuah syarikat swasta, Mohamad Faizul Mohamad Ali, 37, berjaya menaikkan ikan daun baru seberat 945 gram.

Menurutnya, ini adalah kemenangan sulungnya malah cukup lumayan dalam beberapa siri pertandingan pernah disertai sebelum ini.

“Saya tak sangka, kali ini beri tuah buat saya sekeluarga apabila dianugerahkan rezeki RM70,000. Niat asal hanya menyertai pertandingan bersama kawan-kawan.

“Hadiah ini akan saya manfaatkan untuk membesarkan rumah kerana anak-anak kini semakin membesar,” katanya yang memiliki tiga orang anak berusia 6, 9 dan 13 tahun.

Tempat kedua dimenangi Muhammad Abdul Salam Ismail, 43, dari Pontian, Johor selepas membawa naik ikan daun baru seberat 885 gram sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM12,000.

Pelbagai aksi pemancing
Pelbagai aksi pemancing

Tempat ketiga menjadi milik Airudin Ismail, 53, dari Melaka yang memperoleh RM5,000 selepas membawa naik ikan kurau seberat 815 gram.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan yang disertai hampir 1,800 peserta ini adalah anjuran Wakjali Event Management dengan kerjasama Tourism Malaysia.

Penganjuran turut disokong Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Koperasi Pegawai-Pegawai Kementerian Pelancongan Malaysia dan Kelab Rekreasi LPPM.

Ia mencatat sejarah apabila menawarkan hadiah lumayan bernilai RM1,327,500 dan peserta berpeluang memenangi tiga buah kereta Perodua Myvi, Bezza dan Axia, sekiranya memungut tiga mata tertinggi di penghujung 10 siri pusingan.

Pemenang keempat hingga ke-100 juga pulang dengan wang tunai. Turut ditawarkan, televisyen LED 60 inci dan enam TV LED 32 inci, 20 hamper dan 15 barangan Igloo sebagai hadiah cabutan bertuah.

Berkonsepkan Grand Prix

Pengarah Kanan Domestik dan Acara merangkap Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2020, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, ia dirancang sebagai satu daripada aktiviti promosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Pertandingan ini adalah yang pertama dianjurkan di seluruh negara dan berkonsepkan Grand Prix.

Pengadil pertandingan menunjukkan salah seekor ikan daun baru yang berjaya dinaikkan.
Pengadil pertandingan menunjukkan salah seekor ikan daun baru yang berjaya dinaikkan.

“Pemenang tempat pertama hingga ke-200 akan diberikan mata boleh dikumpul untuk muncul juara Grand Slam.

“Dengan yuran penyertaan RM80, ia menggalakkan penyertaan semua lapisan masyarakat,” katanya, semalam.

Turut sama, Pengurus Wakjali Event, Md Zali Kasran.

Pertandingan bagi pusingan kedua dijadual berlangsung pada 13 April depan di Pantai Bisikan Bayu, Kelantan.