[VIDEO] Khairy gagal rayu keputusan kes saman fitnah Anwar

Khairy Jamaluddin (kiri) dan Anwar Ibrahim.
Khairy Jamaluddin (kiri) dan Anwar Ibrahim.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Khairy Jamaluddin Abu Bakar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin untuk mencabar keputusan kes saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan tidak bermoral 14 tahun lalu.

Ia juga merujuk kepada perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini supaya Ahli Parlimen Rembau itu membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

Ia selepas panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Lee Swee Seng, bersidang bersama Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha, sebulat suara mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2017.

Panel kemudian menolak rayuan berkenaan dengan kos sebanyak RM50,000.

Mahkamah turut menolak rayuan Khairy terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang membatalkan permohonannya untuk meminda penyataan pembelaan bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau itu adalah komen yang wajar, dengan kos sebanyak RM10,000.

Ketika membacakan penghakiman dalam prosiding secara dalam talian, Hakim Darryl berkata, panel mendapati tiada merit dalam rayuan Khairy malah ganti rugi yang diberikan oleh hakim mahkamah tinggi adalah tidak berlebihan.

Menurutnya, mahkamah tidak terkhilaf dalam membuat keputusan yang menolak permohonan Khairy.

Beliau berkata, kenyataan yang dipertikaikan dalam pilihan analogi dan kiasan dalam makna semula jadi dan biasa, mampu memfitnah Anwar.

Artikel Berkaitan:

“Hakim Mahkamah Tinggi telah mengambil kenyataan dalam konteks termasuk kiasan yang digunakan, menyimpulkan bahawa makna biasa bagi pernyataan dengan implikasi, mampu menjadi dusta.

“Berhubung ganti rugi (RM150,000) Khairy kepada Anwar, mahkamah tidak menganggap ia sebagai keterlaluan," katanya.

Dalam kes ini, Anwar diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Khairy oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 7 Mac 2008, Anwar yang juga Presiden PKR, menfailkan saman terhadap Khairy yang ketika itu menjawat Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO.

Beliau mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-12 di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.

Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan memerintahkan beliau membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

Hakim itu turut menolak permohonan Khairy untuk meminda penyataan pembelaannya bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau adalah komen yang wajar.

Khairy kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi namun pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan mambatalkannya selepas membenarkan permohonan Anwar.

Pada 15 Disember tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy agar merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.