'UMNO, Pas lebih baik ikut haluan sendiri'

Gambar kecil: Syed Mohd Johan Rizal
Gambar kecil: Syed Mohd Johan Rizal
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO dan Pas tidak perlu lagi membuang masa mencari keserasian dan lebih baik masing masing mengikut haluan sendiri akibat tiada lagi persefahaman.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, ini kerana apa yang berlaku antara dua parti itu umpama tidur sebantal tetapi mimpi dan cita-cita berlainan.

Menurutnya, jalan terbaik adalah membuat keputusan segera bagi merungkai ikatan Muafakat Nasional (MN) agar rakyat tidak berterusan muak dengan mainan politik Pas.

“Lebih baik UMNO buat saja keputusan kerana pada saya rakyat sudah tidak ada masa untuk berpolitik malah mereka muak dengan senario politik masa kini.

“Apa rakyat mahukan adalah mencari satu kolisi terbaik dan stabil yang mampu meneruskan agenda rakyat agar negara kembali ke landasan sebenar,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, akar umbi UMNO berasa kecewa dengan kenyataan beberapa pemimpin Pas terutamanya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang seakan mengapi-apikan keadaan melalui pelbagai kiasan.

“Sekiranya Muafakat Nasional menjadi agenda perkasa Pas bersama UMNO, kenyataan sebegitu tidak sepatutnya dikeluarkan melainkan Pas ingin menamatkan ikatan itu.

“Berbeza dengan UMNO yang lebih berlembut mengeluarkan kenyataan kerana masih menghormati Pas, kalau mahu mencari keserasian ini bukan caranya,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Pemuda UMNO percaya rakyat dapat menilai apa niat sebenar Pas susulan mutakhir ini Pas seolah menggambarkan tidak mahu menubuhkan kerajaan bersama UMNO, sebaliknya bersama Perikatan Nasional (PN).

“Jelas cita-cita sebenar Pas adalah untuk menggantikan Barisan Nasional (BN), jadi kita turunlah di gelanggang Pilihan Raya Umum (PRU) dan biar rakyat tentukan,” katanya.

Pada Rabu, Abdul Hadi menyatakan partinya tidak akan sekali-kali diperbodohkan dengan politik sempit dibawa UMNO yang menurutnya masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah’ Melayu. Beliau mendakwa UMNO bukan sahaja meminggirkan rakan politiknya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi turut meminggirkan masyarakat majmuk melalui pendekatan BN yang gagal.

Dalam konteks Kedah, Syed Mohd Johan Rizal yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar yakin UMNO dan BN masih mendapat tempat di hati rakyat Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun hanya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU lalu.

“Ia berdasarkan trek rekod yang baik oleh kepimpinan BN sebelum ini selain kebangkitan semula parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu.

“Walaupun kerjasama dua parti dominan di negeri ini, iaitu UMNO dan Pas sebelum ini ternyata membuahkan hasil namun kenyataan terbaharu pimpinan kedua-dua parti perlu dihormati dalam menentukan hala tuju parti masing-masing,” katanya.

Menurutnya, tidak mustahil untuk rakyat kembali menyokong BN pada PRU15 disebabkan senario politik yang ada selain kejayaan membentuk kerajaan dominan di Melaka yang merupakan kerajaan pilihan rakyat.

“Dulu BN membentuk majoriti dalam kerajaan dan kita dapat merasa nikmat apabila kestabilan dibentuk, hari ini akibat tiada kestabilan selain campuran pelbagai parti dalam 'kerajaan rojak', sukar untuk membuat keputusan dan perlu berhati-hati.

"Saya percaya susah juga untuk pelabur menjadikan Malaysia destinasi pelaburan, jika keadaan berterusan begini," katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan DUN Kedah akan dibubarkan susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap kepimpinannya.

ADUN Bandar Baharu (UMNO), Datuk Norsabrina Mohd Noor turut menafikan dakwaan beliau bersama seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah.

Kerajaan PN Kedah ketika ini memiliki 23 kerusi DUN dengan Pas memiliki majoriti 15 kerusi, diikuti Bersatu (enam) dan BN (dua kerusi).

Pakatan Harapan pula memiliki 11 kerusi kombinasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak lima kerusi, Parti Amanah Negara (empat kerusi) dan DAP (dua) manakala dua lagi kerusi dimiliki Parti Pejuang Tanah Air.