Penyusutan air Empangan Bukit Merah beri kesan kepada kilang

Saarani
Saarani
A
A
A

LENGGONG - Penyusutan air di Empangan Bukit Merah di Bagan Serai akibat musim panas dan kering bukan sahaja menjejaskan pesawah malah memberi kesan kepada pemain industri sekitar Taiping.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aduan telah diterima daripada kilang-kilang sarung tangan berikutan operasi mereka memerlukan penggunaan air yang tinggi.

"Kilang-kilang melibatkan produk getah memerlukan air yang banyak dan kita mendapat aduan bahawa mereka juga kekurangan air.

"Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat exco untuk membincangkan bagaimana mencari kaedah yang lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kayuhan Muhibah Kesatuan Kakitangan Kemas Semenanjung Malaysia Cawangan Perak di Dewan Serbaguna Taman Kota Tampan di sini pada Ahad.

Saarani berkata, kajian pelaksanaan pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah masih diteruskan bagi mengatasi isu itu dalam tempoh jangka panjang.

"Kita tahu kaedah terbaik adalah memindahkan air dari Sungai Perak ke daerah Kerian cuma ia memerlukan masa.

"Kajian perlu dibuat terlebih dahulu sama ada air dipindahkan itu mencukupi atau tidak. Selain itu ia melibatkan kos dan operator bersesuaian. Kita akan cuba atasi kerana masalah ini berlaku secara berterusan di Bukit Merah," katanya.

Menurutnya, paras air di beberapa empangan utama di sepanjang Sungai Perak dilaporkan berada pada tahap baik.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan laporan yang diterima, empangan seperti Temengor, Bersia, Kenering dan Chenderoh tiada masalah.

"Walaupun tiada hujan, sumber air mencukupi berikutan mata air daripada Hulu Perak masih mengalir masuk ke empangan," katanya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan kerajaan Perak akan melakukan pembenihan awan bagi membantu pesawah daerah Kerian yang terjejas akibat cuaca panas dan kering.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, kaedah itu dilakukan berikutan paras air di empangan kolam Bukit Merah di sini yang kian menyusut hingga boleh menjejaskan jadual pengairan penanaman padi musim ini.