4,000 rumah dibaik pulih, 19 dibina semula

Gambar kecil: Dr Aini Ahmad
Gambar kecil: Dr Aini Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 4,000 kediaman terjejas akibat banjir di daerah Hulu Langat pada Disember tahun lalu akan dibaik pulih, kata Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Aini Ahmad.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut dianggarkan sebanyak 19 unit rumah mangsa banjir akan dibina semula namun pembinaan rumah baharu itu tertakluk kepada status hakmilik tanah.

Menurutnya, kerja-kerja berkaitan akan dilaksanakan melalui bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Rumah mangsa banjir yang mengalami kerosakan kecil di bawah RM5,000 dan pembinaan baharu dikhususkan untuk rumah musnah serta hanyut sepenuhnya akan diberi bantuan melalui pihak terbabit.

"Malah, setiap dua minggu kami akan mengadakan mesyuarat penyelarasan status bantuan baik pulih, infrastruktur asas dan rumah mangsa banjir untuk memantau status tindakan serta isu pelaksanaan semua agensi terlibat (di Hulu Langat),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada 3 Februari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 10,510 rumah mangsa terjejas bencana seluruh negeri ini akan dibaik pulih manakala sebanyak 44 rumah dibina baharu.

Beliau memaklumkan, pembaikan dan pembinaan semula mengambil kira jenis serta tahap kerosakan rumah mangsa yang akan diselaraskan oleh Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail.

Artikel Berkaitan: