Tak lupa DUN pembangkang

Zulkifly (kanan) ketika diwawancara, semalam.
A
A

PONTIAN - DUN Benut di bawah pembangkang akan dipastikan tidak ketinggalan dari aspek pembangunan dan kebajikan penduduknya.

Penyelaras DUN Benut, Zulkifly Tasrep berkata, Kerajaan PH tidak pernah mengetepikan mana-mana kawasan DUN mahupun Parlimen di bawah pembangkang.

Ini terbukti apabila kerajaan mewujudkan jawatan penyelaras bagi setiap DUN yang akan bertanggungjawab membantu penduduk dalam pelbagai aspek dan menyampaikan dasar- dasar kerajaan.

Menurutnya, penyelaras DUN bukan jawatan baharu, sebaliknya sudah lama diwujudkan di Selangor.

"Fungsi utama penyelaras DUN sampaikan dasar dasar kerajaan kepada penduduk, seperti wakil kepada kerajaan.

"Kita tidak mahu kawasan yang kalah, yang bukan kawasan kerajaan dipinggirkan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pontian berkata, untuk memastikan setiap DUN itu mempunyai pentadbiran terancang, jawatankuasa DUN turut diwujudkan.

"Jawatankuasa ini dianggotai oleh ketua kampung.

"Penyelaras DUN ini akan duduk dalam mesyuarat tindakan daerah untuk suarakan suara dan harapan rakyat," katanya.

Menurutnya, di DUN Benut terdapat 14 ketua kampung, di mana mereka ini akan berhubung rapat dengan penyelaras DUN untuk ketengahkan masalah dihadapi penduduk.

"Saya akan buka sebuah pusat khidmat di Kampung Parit Seraya, Benut. Kemungkinan pada April ini.

"Pembukaan pusat khidmat itu diharap dapat menyampaikan mesej kepada rakyat di mana inilah tempatnya tidak kira apa fahaman politik, mereka boleh datang bertemu saya.

"Saya bekerja untuk rakyat, apa yang kita hendak sampaikan adalah dasar dasar kerajaan dan seterusnya bantu rakyat," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia