Ubah pinjam kepada menabung

Rais bersama para penerima sumbangan pada Program Satu Hati, kelmarin.
A
A

SEREMBAN - Seramai 250 pelajar daripada keluarga B40 menerima sumbangan dalam bentuk simpanan SSPN-i anjuran Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pertubuhan Sahabat Anak Negeri Sembilan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM25,000 melalui tanggungjawab sosial korporat PTPTN, yang mana setiap pelajar menerima simpanan sebanyak RM100 yang dimasukkan terus ke dalam akaun SSPN-i.

Menurutnya, sumbangan ini permulaan kepada ibu bapa untuk terus melakukan tabungan demi masa depan anak.

"PTPTN sangat komited untuk mengubah masyarakat daripada budaya meminjam kepada budaya menabung demi masa depan anak, melalui penabungan pendidikan di SSPN.

"Sehingga 28 Februari lalu, sebanyak 3.96 juta akaun telah dibuka dengan simpanan berjumlah RM4.68 bilion, dan daripada jumlah itu sebanyak 181,653 akaun dibuka masyarakat di negeri ini dengan jumlah simpanan RM166.41 juta.

"Walaupun ramai ibu bapa menabung dalam skim ini, namun ia masih di tahap rendah berbanding jumlah rakyat di negara ini, jadi usaha untuk meningkatkan kesedaran akan terus diperkasakan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Satu Hati bersama penerima bantuan SSPN-i, ibu tunggal dan asnaf di Terminal One di sini, kelmarin.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Yayasan Budi yang juga Pengerusi Parti Bersatu Negeri, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Jelasnya, skim simpanan SSPN memberi pelbagai keistimewaan kepada pendeposit dan tidak membebankan.

Katanya, melalui SSPN-i simpanan minimum hanyalah RM20 dan SSPN-i plus serendah RM30 sebulan, iaitu sehari cuma RM1 sahaja untuk masa depan anak-anak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu setelah 22 tahun penubuhan PTPTN, sehingga 28 Februari lalu, pihaknya telah membantu seramai 3.02 juta pelajar dengan jumlah RM56 bilion.

Katanya, pinjaman pendidikan ini turut memberi manfaat kepada seramai 142,665 pelajar di negeri ini dengan jumlah pengeluaran pinjaman sebanyak RM2.4 bilion.

"Kami di PTPTN akan terus melipatgandakan usaha mengubah budaya masyarakat daripada berhutang kepada budaya menabung demi masa depan anak-anak," katanya.

Pada majlis tersebut ibu tunggal dan asnaf turut menerima sumbangan berbentuk wang tunai RM100 serta barangan keperluan, yang disumbangkan Pejabat Parlimen Seremban.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia