Serantau Muslim harap pembinaan bandar Syria jadi 'benchmark' NGO

Mohd Hakim (tiga dari kanan) bersama sukarelawan Serantau Muslim yang akan pergi ke Syria untuk Misi Kemanusiaan Musim Sejuk Syria, pada Sabtu
Mohd Hakim (tiga dari kanan) bersama sukarelawan Serantau Muslim yang akan pergi ke Syria untuk Misi Kemanusiaan Musim Sejuk Syria, pada Sabtu
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Serantau Muslim melalui Misi Kemanusiaan Musim Sejuk Syria akan meninjau proses terakhir pembinaan 'township' untuk pelarian Syria sekaligus merasmikan pembinaan kilang roti di sana.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, proses pembinaan bandar tersebut diharap dapat menjadi 'benchmark' atau pencetus idea kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi membantu pelarian Syria pada masa hadapan.

Ujar beliau, kemudahan yang disediakan di bandar berkenaan termasuk penempatan, masjid, makanan serta tempat riadah bertujuan bagi memberi bantuan jangka masa panjang kepada mereka.

"Jadi selepas ini mana-mana rakyat Malaysia, NGO atau pihak dalam atau luar negara boleh datang ke Syria melihat perkampungan yang kita bangunkan ini.

"Kita letakkan solat subuhnya berjemaah seperti mana solat Jumaat. Kita letakkan program bantuan kita disitu, kilang roti, pembangunan ekonomi yang menyediakan peluang bekerja kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama sukarelawan Serantau Muslim pada Sabtu.

Misi kemanusiaan tersebut disertai oleh sukarelawan Serantau Muslim termasuk duta rasminya, Imam Muda Hassan dan Ustazah Isfadiah.

Dalam pada itu, menurut Mohd Hakim, misi kali ini juga turut melaksanakan agihan kelengkapan musim sejuk buat pelarian Syria yang berada di kem-kem pelarian di sana.

Artikel Berkaitan:

"Untuk makluman sekarang ini suhu di Syria sudah mencecah hingga -15 darjah celcius pada waktu tertentu dan kebanyakkan masa memang kosong darjah celsius.

"Maksudnya kalau kita lihat keperluan paling utama mereka mahukan selimut dan pemanas api.

"Kita juga bawa barang bantuan lain. Itu adalah perkara pertama yang kita lakukan sebaik sahaja tiba," ujarnya.