Dua lagi kluster pendidikan dikesan di Negeri Sembilan

Veerapan
Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Dua lagi kluster pendidikan dikesan di Negeri Sembilan iaitu Kluster Jalan Bakti dan Kluster Taman Serting Jaya.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, Kluster Jalan Bakti melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman di Tampin manakala Kluster Taman Serting Jaya melibatkan murid sebuah prasekolah di Jempol.

"Seramai 16 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman di Tampin disahkan positif Covid-19.

"Kluster Jalan Bakti itu bermula selepas saringan pelajar bergejala dilakukan yang mana daripada 54 pelajar disaring sehingga jam 12 tengah hari tadi (Sabtu), 16 daripadanya positif Covid-19.

"Kesemua kontak rapat kes juga dikenal pasti dan mereka diberi surat kuarantin wajib,"katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Menurutnya, Kluster Taman Serting Jaya pula dikesan pada Jumaat dan ia bermula selepas saringan bergejala terhadap kakitangan di tadika tersebut.

Kata beliau, sehingga Jumaat sebanyak 25 kes positif Covid-19 dilaporkan iaitu enam kakitangan, 12 murid dan tujuh kontak rapat murid.

"Kesemua kontak rapat kes juga telah diasing dan dikuarantin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seramai 743 pelajar sekolah dan institusi pendidikan di Negeri Sembilan positif Covid-19 membabitkan 11 kluster pendidikan di negeri itu setakat 26 Januari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, 11 kluster aktif di negeri itu melibatkan lapan institusi pendidikan berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, manakala tiga lagi membabitkan institusi swasta.