Sila log masuk terlebih dahulu.

Jangan ‘bermain’ dengan harga ayam, telur: Nik Muhammad Zawawi

Nik Muhammad Zawawi
Nik Muhammad Zawawi
A
A
A

PASIR PUTEH – Pemain industri makanan asasi terutamanya ayam dan telur diminta untuk tidak ‘bermain’ dengan harga bagi memastikan orang ramai mendapat manfaat yang sewajarnya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan sudah mempunyai perancangan jangka masa panjang dan pendek dalam mengatasi isu ketidakstabilan harga ayam dan telur di pasaran.

“Kerajaan akan menyelesaikan masalah tersebut cuma ia melibatkan jangka masa yang agak panjang seperti penternakan ayam yang dikendalikan kerajaan sendiri dan jangka masa pendek pula kita akan meluluskan lesen yang membolehkan individu tertentu import ayam dari luar. Kita harap langkah ini akan bantu kestabilan harga berkenaan.

“Namun pesan saya, kepada pemain industri dalam negara jangan mencampurkan perjalanan ayam ini menyebabkan harga ayam terumbang ambing.

Perkara ini saya dengar dari banyak pihak, jangan sampai tahap kerajaan ambil satu tindakan sehingga mereka berdepan kerugian dan sebagainya,”katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Nik Muhammad Zawawi sebelum itu merasmikan Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warrior Fan Club (TJWFC) di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini. Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Beliau diminta mengulas mengenai harga ayam dan telur di pasaran kini yang dilihat tidak stabil terutamanya di musim perayaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai persiapan musim kemarau melibatkan petani yang menanam padi, Nik Muhammad Zawawi berkata, kerajaan sudah pun mempunyai perancangan khusus untuk membantu mereka yang berdepan kerugian dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Kita di kementerian sudah buat beberapa andaian, kalau banjir, andaian banjir, kalau kemarau, ada andaian kemarau.

Perancangan itu ada namun kita serahkan semuanya pada ALLAH.

“Saya berharap petani memahami perkara ini, kerajaan akan membantu rakyat sebaik mungkin.

Kita akan ada pampasan dan sebagainya, cuma mungkin tidak 100 peratus ganti, namun ada pembelaan dari pihak kerajaan,”katanya.