Penantian 25 tahun lelaki OKU miliki MyKad berakhir

Ruslin (kanan) menyerahkan kad pengenalan kepada OKU, Hazbillah (tengah) yang ditemani ibunnya, Siti Meriam di Kampung Kubang Tepak, Manir pada Sabtu. - Foto Bernama
Ruslin (kanan) menyerahkan kad pengenalan kepada OKU, Hazbillah (tengah) yang ditemani ibunnya, Siti Meriam di Kampung Kubang Tepak, Manir pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Penantian 25 tahun seorang pemuda daripada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk memiliki MyKad berakhir pada Sabtu, apabila dia menerima dokumen pengenalan diri itu menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lebih istimewa kad pengenalan Hazbillah Rasid, 37, diserahkan sendiri Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh kepada ibunya, Siti Meriam Ngah, 64, di kediaman mereka yang terletak di Kampung Kubang Tepak Manir, di sini.

Siti Meriam berkata, Hazbillah yang lumpuh seluruh badan selepas diserang sawan akibat demam panas ketika berusia tiga bulan, hanya mempunyai Sijil Beranak kerana dahulu keluarganya tidak mempunyai kenderaan untuk membawa anaknya itu mendaftar kad pengenalan di JPN.

"Saya tidak mahu susahkan orang untuk menumpang kereta pergi ke JPN, tetapi kira-kira dua tahun lepas apabila tahu ada program Mekar, adik-beradiknya yang lain terus membuat permohonan dan masalah Hazbillah akhirnya selesai hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ibu kepada enam anak itu berkata, dia bersyukur kerana walaupun tidak mempunyai kad pengenalan, anak kelimanya itu tetap layak menerima pelbagai bantuan kerajaan kerana pemimpin setempat banyak membantu memudahkan urusan mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ruslin berkata, program Mekar JPN adalah program turun padang berkaitan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad, dan Sijil Kelahiran kepada golongan OKU, warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.

"Ia adalah pendekatan produktif JPN dalam memastikan setiap penduduk Malaysia yang layak, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan kerajaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: