Terus bantu rakyat bina semula kehidupan pascapandemik: MOF

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) pada Sabtu mengulangi dan mengingatkan orang ramai dan perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bahawa pelbagai langkah bagi membantu rakyat membina semula kehidupan pascapandemik tersedia untuk dimanfaatkan.

MOF menjelaskan, kerajaan akan terus memantau keadaan dan pihaknya sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu rakyat serta perniagaan untuk pulih secepat mungkin.

Menurut MOF, antara langkah yang telah diumumkan ialah melanjutkan tempoh permohonan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dari 31 Jan, 2022 kepada 31 Mac, 2022 bagi golongan B50 yang masih memerlukan bantuan dan sokongan bayaran balik pinjaman bank masing-masing.

"Pelanggan B50 yang layak termasuk pelanggan individu yang, antara lainnya, berpendapatan isi rumah kasar sebanyak atau kurang daripada RM5,880; hilang pekerjaan; atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus,” menurut MOF dalam kenyataan pada Sabtu.

Ia menambah, antara manfaat URUS ialah pengecualian faedah atau keuntungan pembiayaan selama tiga bulan dan/atau penangguhan bayaran atau ansuran pinjaman selaras dengan kemampuan peminjam, dan sokongan dari segi strategi memperkasakan pengurusan kewangan peminjam.

Mereka yang layak dan ingin memohon URUS boleh berbuat demikian melalui pelbagai saluran perbankan bank masing-masing.

Layari https://www.akpk.org.my/sites/default/files/URUS%20Kenyataan%20Media_Bersama_25012022.pdf atau menerusi https://www.abm.org.my/media-room/press-releases/item/1811-applications-forurus-now-extended untuk mendapatkan maklumat lanjut.

MOF memaklumkan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) juga menawarkan perkhidmatan percuma, termasuk Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK), merangkumi bantuan penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan sedia ada, termasuk pembiayaan dengan lebih daripada satu bank untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro yang menghadapi masalah pembiayaan perniagaan dengan institusi kewangan.

Artikel Berkaitan:

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.akpk.org.my/my/sppk

Menurut MOF, selain itu, bagi membantu PKS membina semula perniagaan pascapandemik, pelbagai inisiatif di bawah Bajet 2022 telah bermula.

"Bagi membantu PKS pulih dan berkembang di samping menguruskan tahap keberhutangan mereka, dana sebanyak RM1 bilion disediakan bagi kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF).

"Ini merupakan penyelesaian inovatif bagi menyokong keperluan modal yang digandingkan dengan terbitan saham atau sebarang instrumen mirip ekuiti bagi mengurus keberhutangan peminjam,” jelas MOF.

Ia menambah, PKS daripada semua sektor ekonomi layak memohon pembiayaan sehingga RM5 juta bagi perbelanjaan modal atau modal kerja, dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

Mereka yang berminat boleh memohon terus daripada mana-mana bank yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jelasnya.

Maklumat lanjut boleh didapati di pautan https://www.bnm.gov.my/-/new-bnm-funds-sme-brf-lctf-bm

Menurut MOF, PKS juga boleh memohon dana Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) dengan sebanyak RM2 bilion disediakan, iaitu RM1 bilion dari BNM, dengan dana padanan berjumlah keseluruhan RM1 bilion dari institusi kewangan.

Dana ini bertujuan menggalakkan PKS menerapkan amalan kelestarian untuk membina daya tahan perniagaan, dan membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, tambahnya.

"Permohonan boleh dibuat bagi aktiviti-aktiviti seperti memohon pensijilan kelestarian; meningkatkan penggunaan bahan lestari dalam pengeluaran; menambah baik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan; dan memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu,” menurut MOF.

Kementerian itu menjelaskan, PKS daripada semua sektor boleh memohon sehingga RM10 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun dan bagi yang berminat boleh memohon terus daripada mana-mana bank yang dikawal selia oleh BNM, tambahnya.

Layari https://www.bnm.gov.my/-/new-bnm-funds-sme-brf-lctf-bm untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Bernama