RM1 bilion dana BRF bantu pulihkan PKS

Dana sebanyak RM1 bilion disediakan untuk membantu PKS pulih dan berkembang sambil menguruskan tahap keberhutangan mereka. Gambar hiasan
Dana sebanyak RM1 bilion disediakan untuk membantu PKS pulih dan berkembang sambil menguruskan tahap keberhutangan mereka. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini sudah boleh memohon kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) yang disediakan kerajaan di mana-mana bank yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Sabtu berkata, dana sebanyak RM1 bilion disediakan untuk inisiatif tersebut bagi membantu PKS pulih dan berkembang sambil menguruskan tahap keberhutangan mereka.

“Ini merupakan penyelesaian inovatif bagi menyokong keperluan modal yang digandingkan dengan terbitan saham atau sebarang instrumen mirip ekuiti bagi mengurus keberhutangan peminjam.

“PKS daripada semua sektor ekonomi layak memohon pembiayaan sehingga RM5 juta bagi perbelanjaan modal atau modal kerja dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun

“Maklumat lanjut boleh didapati di pautan https://www.bnm.gov.my/-/new-bnm-funds-sme-brflctf-bm,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan, peniaga PKS juga boleh memohon dana Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF).

Menurut kenyataan itu, permohonan dana berkenaan bertujuan menggalakkan PKS menerapkan amalan kelestarian untuk membina daya tahan perniagaan dan membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emission) menjelang tahun 2050.

Jelasnya, kerajaan akan terus memantau keadaan dan MOF khususnya akan sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu rakyat dan perniagaan pulih secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak RM2 bilion disediakan, RM1 bilion daripada BNM dengan dana padanan berjumlah keseluruhan RM1 bilion daripada institusi kewangan.

“Permohonan boleh dibuat bagi aktiviti-aktiviti seperti memohon pensijilan kelestarian; meningkatkan penggunaan bahan lestari dalam pengeluaran; menambahbaik kecekapan tenaga (energy-efficiency) bangunan dan peralatan; dan memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu (renewable energy),” ujarnya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, permohonan bagi Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) akan dilanjutkan dari 31 Januari 2022 kepada 31 Mac 2022 bagi golongan B50 yang masih memerlukan bantuan dan sokongan bayaran balik pinjaman bank masing-masing.

“Antara manfaat URUS termasuk pengecualian faedah/keuntungan pembiayaan selama 3 bulan dan/atau penangguhan bayaran/ ansuran pinjaman selaras dengan kemampuan peminjam; dan sokongan dari segi strategi memperkasakan pengurusan kewangan peminjam.

“Mereka yang layak dan ingin memohon URUS boleh berbuat demikian melalui pelbagai saluran perbankan bank masing-masing,” menurutnya.