Perak tubuh jawatankuasa khas tangani masalah usahawan AIM

Saarani (tiga dari kanan) menerima replika cek peruntukan Skim Pembiayaan Sahabat Wilayah Perak Tahun 2022 pada Program Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di Laman Seri Ridzuan pada Sabtu.
Saarani (tiga dari kanan) menerima replika cek peruntukan Skim Pembiayaan Sahabat Wilayah Perak Tahun 2022 pada Program Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di Laman Seri Ridzuan pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah yang dihadapi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ditubuhkan kerajaan Perak dalam usaha membantu golongan tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa yang akan dianggotai pelbagai agensi itu akan mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 17 Februari depan.

Menurutnya, hampir kesemua rungutan dan masalah yang diutarakan oleh usahawan AIM adalah sama.

"Perkara paling utama yang dibangkitkan ialah mereka ini memerlukan tempat bagi mengadakan mesyuarat mingguan sebab sebelum ini mereka dibenarkan guna dewan orang ramai tapi sekarang ini mungkin ada masalah tapi kita tak pasti, mereka tidak dibenarkan menggunakan dewan orang ramai.

"Rungutan juga diterima mengenai kesukaran mendapat lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), kerumitan untuk mengisi borang tertentu untuk dapatkan pinjaman, kawalan kepada harga barang mentah kerana sebahagian besar usahawan terlibat dalam industri makanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di Laman Seri Ridzuan di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Saarani berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai ketua-ketua jabatan serta agensi berkaitan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Sekretariat Pembangunan Usahawan Perak (STeP), Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua agensi terlibat dipanggil bagi memudahkan penyelarasan dibuat di semua daerah di negeri ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan dan penyelesaian masalah yang dibangkitkan akan diputuskan dalam mesyuarat tersebut.

"Perkara-perkara yang boleh diputuskan, kita putuskan yang mana mudah. Tetapi ada benda yang di luar bidang kuasa kita seperti harga barang, sistem tambah nilai, itu dasar Amanah Ikhtiar atau kementerian.

"Tapi perkara yang lain dalam urusan kerajaan negeri, macam lesen PBT, dewan orang ramai tu, insya-ALLAH kita akan selesaikan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saarani menjelaskan kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk berdepan bencana alam.

Menurutnya, kerajaan negeri akur dengan sebarang prosedur operasi standard (SOP) atau arahan daripada daripada kerajaan persekutuan mengenai kesiapsiagaan bencana.