Perlukah untuk isytihar darurat di Pasir Gudang?

A
A
A
BENCANA yang menimpa Pasir Gudang minggu lepas telah menimbulkan persoalan tentang pengisytiharan ‘darurat bencana’. Ramai yang bertanya, mengapa kerajaan tidak mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

Respons daripada pihak kerajaan adalah bahawa walaupun situasinya serius, tetapi tidak ada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat bagi kawasan Pasir Gudang. Saya cuba rungkaikan apa itu 'darurat' dalam konteks situasi di Pasir Gudang dalam rencana ini.

'Darurat' yang disebut-sebut dalam Parlimen ini berlainan dengan Pengisytiharan Darurat dalam Perlembagaan. Perkara 150 memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), bertindak atas nasihat Perdana Menteri, untuk mengisytiharkan darurat berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Walaupun tidak dinyatakan sedemikian dalam Perlembagaan, pengisytiharan darurat mengikut Perkara 150 ini boleh dirujuk sebagai ‘darurat keselamatan’.

Apabila darurat keselamatan diisytiharkan bawah Perkara 150, maknanya undang-undang boleh dibuat tanpa melalui Parlimen. Ia juga bermakna, beberapa kebebasan asasi boleh dinafikan melalui undang-undang tersebut. Contoh, Ordinan Darurat yang sebelum ini berkuatkuasa.

Darurat seperti ini adalah dalam situasi di mana terdapatnya ancaman kepada keselamatan dalam negeri, ketenteraman awam atau kehidupan ekonomi sama ada di seluruh Persekutuan, atau bahagian-bahagiannya.

Tetapi, apa yang disebut-sebut di Pasir Gudang bukanlah darurat bawah Perkara 150.

Sekiranya ada darurat, ia adalah 'Darurat Bencana'. Darurat bencana ini tidak memberikan apa-apa kuasa tambahan kepada Kerajaan Persekutuan. Ia tidak diisytiharkan oleh YDPA.

Darurat bencana ini tidak diperuntukkan melalui apa-apa undang-undang khusus, tetapi melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 : Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, yakni suatu arahan eksekutif yang terpakai dalam kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Arahan ini disediakan bertujuan untuk menggariskan dasar dan mekanisme pengurusan bencana secara menyeluruh termasuk peranan dan tanggungjawab agensi kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas berlaku sesuatu bencana supaya pengemblengan sumber dapat disepadukan bagi mengelakkan pembaziran, konflik serta pertindihan peranan.

Maknanya, ia untuk melancarkan dan memastikan pengurusan sesuatu bencana dijalankan dengan baik dan tersusun.

Darurat bencana ini tidak bermakna akan ada perintah berkurung dan sebagainya. Kehidupan seharian rakyat Johor dan warga Pasir Gudang, jika bukan dalam kawasan yang terlibat, tidak akan terjejas.

Apa situasi yang membolehkan darurat bencana ini diisytiharkan? Ia tidak dinyatakan secara khusus dalam arahan tersebut. Tidak dinyatakan pada tahap mana perlu ada pengisytiharan darurat bencana. Maknanya, ia bergantung kepada kerajaan sendiri. Sekiranya Kerajaan rasa sitausi masih dalam keadaan terkawal, mereka tidak perlu darurat bencana buat masa ini.

Akhir sekali, kita jangan ingat bahawa ‘darurat’ ini suatu terma ‘magik’ yang boleh selesaikan semua isu di Pasir Gudang, atau mana-mana situasi kecemasan. Ia semua bergantung kepada respons kerajaan pada kejadian. Sekiranya ia boleh ditangani, tidak perlu isytihar Darurat Bencana.

Isytihar darurat bukan isunya. Isunya sama ada kerajaan sudah ambil langkah yang sepatutnya atau tidak. Ini yang perlu dipantau dan sekiranya terdapat kelemahan, dikritik. Darurat bukan jaminan masalah selesai.

Sama-sama kita berdoa supaya semuanya baik-baik belaka di Pasir Gudang.

*Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur