Ibu bapa manfaatkan hujung minggu jayakan PICKids

Seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin jenis Pfizer pada PICKids di PPV Offsite IOI City Tower 1 pada Sabtu. - Foto Bernama
Seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin jenis Pfizer pada PICKids di PPV Offsite IOI City Tower 1 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusat pemberian vaksin (PPV) ‘offsite’ di IOI City Tower 1 di sini membuka pintu untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) mulai Sabtu, yang rata-ratanya merupakan kanak-kanak dari sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Sepang dan Seri Kembangan.

PPV offsite adalah PPV yang dioperasikan oleh pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan di luar fasiliti kesihatan swasta mereka dan PPV offsite IOI City Tower 1 itu dikendalikan oleh IHEAL Medical Centre.

Pengurus Jururawat IHEAL Medical Centre, Farah Adilah Mohd Ali ketika ditemui di sini pada Sabtu berkata, PPV untuk PICKids itu hanya beroperasi pada hujung minggu sahaja dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, kapasiti harian PPV itu boleh menampung sehingga 700 individu untuk divaksin dan pada Sabtu, ibu bapa memanfaatkan hujung minggu dengan membawa anak mereka ke PPV tersebut dengan lebih 300 kanak-kanak telah menerima vaksin Covid-19 mereka sehingga tengah hari.

"Adalah dijangkakan lebih 10,000 kanak-kanak lima hingga 11 tahun akan menerima vaksin di PPV tersebut, dengan jangkaan PPV itu akan beroperasi sehingga April ini,” katanya.

Di PPV tersebut terdapat enam stesen pemberian vaksin, yang diurus para pemvaksin dan jururawat yang turut menenangkan kanak-kanak yang kelihatan takut dan menangis ketika disuntik. Dua pegawai perubatan turut ditempatkan bagi memberi penerangan kepada ibu bapa mengenai kebolehterimaan vaksin bagi anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Dr Masyitah bersama anaknya, Muhammad Aiman Khairul Fahzan, 11, menunjukkan kad vaksinasi selepas menerima suntikan vaksin di PPV Offsite IOI City Tower 1 pada PICKids.
Dr Masyitah bersama anaknya, Muhammad Aiman Khairul Fahzan, 11, menunjukkan kad vaksinasi selepas menerima suntikan vaksin di PPV Offsite IOI City Tower 1 pada PICKids.

PICKids bermula 3 Februari dengan bermula di Lembah Klang dengan dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di seluruh negara layak menerima vaksin tersebut.

PICKids dilaksanakan secara sukarela dan tiada sekatan dikenakan untuk kanak-kanak yang tidak divaksinasi.

Dr Masyitah Mohd Locman, 39, yang membawa anak lelakinya Muhammad Azman Khairul Fahzan, 11, berkata, beliau telah mendaftarkan anaknya sejurus selepas pengumuman kerajaan mengenai PICKids dan lega apabila menerima janji temu selepas seminggu pendaftaran dibuat.

"Saya berpendapat kanak-kanak perlu menerima vaksin, memandangkan virus Covid-19 akan sentiasa ada dalam komuniti, lebih-lebih lagi mereka juga perlu menjalani kehidupan normal seperti dewasa,” kata pegawai perubatan di Universiti Teknologi Mara itu.

Seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, beliau membawa dua anak perempuannya berumur lapan dan 10 tahun untuk menerima vaksin Covid-19, bagi memastikan keluarganya terlindung daripada jangkitan Covid-19.

"Saya telah kehilangan ahli keluarga kerana Covid-19 dan saya pilih untuk melindungi anak perempuan saya sekarang ini menerusi vaksinasi Covid-19,” katanya yang turut berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan atas inisiatif PICKids itu. - Bernama