Polis nafi mesej tular berlaku rompakan bersenjata

IPD Tapah nafi keluarkan mesej yang tular melalui aplikasi WhatsApp. (Gambar kecil: Wan Azharuddin)
IPD Tapah nafi keluarkan mesej yang tular melalui aplikasi WhatsApp. (Gambar kecil: Wan Azharuddin)
A
A
A

TAPAH - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menafikan mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa pihaknya mengeluarkan amaran kepada orang ramai konon terdapat beberapa orang lelaki menyamar dari syarikat air atau syarikat elektrik sebelum melakukan rompakan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mesej melalui aplikasi WhatsApp itu dikesan pada Jumaat jam 11 pagi mendakwa laporan yang ditularkan itu daripada IPD Tapah.

Menurutnya, mesej tular itu menyatakan terdapat tiga atau empat lelaki akan melawat rumah dan mendakwa mereka dari syarikat air atau syarikat elektrik untuk menukar mentol elektrik untuk penjimatan, seterusnya akan merompak menggunakan senjata.

"Hasil siasatan pihak polis maklumat yang diviralkan ada tidak benar. Tiada sebarang kejadian rompakan atau pencerobohan berlaku atau dilaporkan kepada polis dan kami tidak pernah mengeluarkan amaran mengenai kejadian ini.

"Semakan polis juga mendapati WhatsApp ini pernah ditularkan pada tahun 2019," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Wan Azharuddin mengingatkan masyarakat supaya mendapatkan maklumat yang sahih daripada polis.

Menurutnya, media sosial tidak seharusnya digunakan untuk menyebarkan berita palsu yang boleh menguggat keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, jangan kongsi sebarang maklumat atau berita yang tidak dipastikam kesahihannya.

Artikel Berkaitan: