Keutuhan gabungan parti politik beri keyakinan kepada pengundi

Hamidin Abd Hamid
Hamidin Abd Hamid
A
A
A

SHAH ALAM – Keyakinan dan kepercayaan dari segi keutuhan sesebuah gabungan merupakan faktor pengundi memberi undi kepada parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, perkara ini berdasarkan analisa-analisa yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengenai punca Barisan Nasional (BN) boleh mengalami kekalahan dan keutuhan gabungan parti-parti pembangkang di bawah sepanduk Pakatan Harapan (PH).

“Keupayaan parti-parti pembangkang untuk berada di bawah satu banner (sepanduk) PH diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jelas memberikan keyakinan kepada para pengundi bahawa mereka mempunyai alternatif yang jelas kepada kerajaan sedia ada iaitu BN pada 2018.

“Begitu juga konteks di Johor pada ketika ini. Saya kira yang jelas itu ditawarkan oleh BN,” ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke-320 bertajuk ‘MB Pilihan #Bangsa Johor’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.

Wacana itu turut menampilkan Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros sebagai panelis manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, BN mempunyai kelebihan pada ketika ini kerana keutuhan kerjasama antara parti politik yang membentuk gabungan itu berbanding parti-parti lain di Johor.

“Daripada struktur parti dan kekuatan koalisi yang ada dalam parti-parti politik yang ada ketika ini, BN sememangnya mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan parti-parti lain.

“Kalau kita lihat di BN diketuai Datuk Hasni Mohammad, saya rasa jelas struktur kepimpinannya dalam konteks di Johor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hamidin turut berpendapat sekiranya berlaku penentangan lebih daripada dua atau tiga penjuru di Johor, berkemungkinan UMNO akan mempunyai kelebihan.

Bagaimanapun katanya, jika parti-parti pembangkang berjaya membuat kerjasama pilihan raya, UMNO bakal mendapat saingan sengit.