Penagihan dadah silang budaya

A
A
A
DADAH sintetik menjadi ketagihan dalam kalangan penagih-penagih komuniti Melayu, manakala dadah bukan sintetik menjadi kegemaran dalam kalangan komuniti bukan Melayu.

Pertama, dadah tradisional seperti ganja, marijuana dan lain-lain merupakan kegemaran dalam kalangan penagih-penagih bukan Melayu. Kedua, dadah sintetik seperti pil kuda, estacsy merupakan kegemaran dalam kalangan penagih-penagih Melayu. Ketiga dadah terbaharu iaitu New Psychoactive Substance atau NPS kini menjadi kegemaran dalam kalangan rentas etnik.

NPS adalah jenis dadah dibangunkan dengan gabungan dadah tradisional dan dadah sintetik yang dijual dalam bentuk pil seperti Flakka. Dadah ini dikenali sebagai Dadah Zombie. Campuran dadah ini boleh berlaku apabila air ketum dicampurkan dengan dadah sintetik dan tradisional lalu dibentuk dalam pil.

Dadah ini terlalu murah tapi berbahaya. Apa yang berlaku ialah dalam kalangan penagih dadah bukan Melayu mengambil NPS dicampurkan dengan minuman beralkohol bagi meningkatkan kekhayalan ATS. Manakala penagih-penagih Melayu selalunya mencampurkan dengan ubat-ubatan seperti ubat batuk, pil tidur dan lain-lain dengan NPS.

Kenapa dadah ini boleh terbahagi kepada kumpulan etnik. Ini dipengaruhi oleh gelombang kedatangan dadah tersebut ke negara ini. Gelombang pertama, dadah berbentuk berasaskan opiate iaitu candu bermula pada pertengahan abad ke-l9 sewaktu era penjajahan British di Tanah Melayu. Pengaruh dadah candu dibawa masuk oleh buruh dari China yang bekerja di sektor perlombongan.

Pada waktu itu pemerintah British membenarkan penjualan dadah candu di Government Chandu Shop mengikut peruntukan Chandu Shops Enactment l906 bagi mereka yang berdaftar untuk menghisapnya. Ini menyebabkan dadah tradisional digemari dalam kalangan penagih-penagih bukan Melayu sehingga kini.

Seterusnya, gelombang kedua berlaku pada lewat l960-an di mana fenomena penyalahgunaan dadah muncul semasa perang Vietnam apabila tentera laut Amerika Syarikat membawa tabiat menyalahguna dadah heroin ketika mereka datang bercuti di Pulau Pinang. Pengaruh penyalahgunaan dadah heroin ini menular dalam kalangan masyarakat tempatan dan masalah dadah heroin ini masih terus membelenggu negara hingga ke hari ini.

Selain heroin, dadah jenis morfin dan ganja juga diperkenalkan pada ketika ini dan menjadi trend dalam kalangan penagih dan pengedar dadah. Dadah ini juga digemari oleh penagih-penagih bukan Melayu kerana dadah ini masih jenis tradisional yang dibangunkan hasil daripada pokok ganja dan popi.

Gelombang ketiga berlaku pada pertengahan 1990-an, negara dilanda satu lagi trend penyalahgunaan dadah baharu iaitu dari jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS). Ia bermula dengan penyalahgunaan pil dadah ekstasi pelbagai logo (Mercedes, Butterfly dan Rolex) dan warna yang digilai oleh muda–mudi di pusat hiburan. Dadah jenis ini lebih dikenali sebagai club drug atau party drug yang diseludup masuk dari negara Eropah seperti Belanda dan Belgium.

Artikel Berkaitan:

Dadah ini adalah sintetik yang lebih murah dan efektif dalam khalayan. Akibatnya dadah sintetik dapat dijual dalam bentuk pil dan lebih luas pasarannya di negara ini terutama dalam kalangan penagih-penagih Melayu. Kini, gelombang keempat trend penyalahgunaan dan penagihan dadah berubah mengikut perkembangan masa terhadap permintaan.

Terkini, sindiket pengedaran dadah sering memperkenalkan pelbagai bahan psikoaktif baharu atau legal high yang mempunyai kesan sama seperti dadah yang popular disalah guna, tetapi tidak semua NPS disenaraikan sebagai menyalahi undang–undang seperti pil tidur. Dadah ini digemari oleh penagih-penagih Melayu dan bukan Melayu. Bagi bukan Melayu selalunya dicampur dengan alkohol dan bagi Melayu dicampurkan dengan ubat batuk, ketum dan lain-lain.

Akibatnya, negeri yang paling ramai penagih dadah sintetik ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang. Manakala negeri yang paling ramai penagih-penagih dadah tardisional iaitu ganja, marijuana, heroin, morphin dan lain-lain adalah Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Adakah untuk menangani dadah ini memerlukan cara berbeza mengikut budaya etnik. Malahan jika dilihat dadah sintetik ini mempunyai majoriti penagih-penagih dalam kalangan kelayakan SPM dan SRP/PT3. Manakala majoriti penagih-penagih dadah bukan sintetik adalah dalam kalangan mereka yang berpendidikan dan tidak bersekolah atau bersekolah rendah.

Apa yang menarik majoriti penagih dadah sintetik adalah dalam kalangan penganggur, buruh am dan kerja rencah atau sambilan. Manakala majoriti penagih dadah bukan sintetik adalah dalam kalangan pekerja jualan, perkilangan dan perkhidmatan. Daripada data-data yang diperoleh mempunyai hubungan antara pekerjaan, kelayakan akademik, penggunaan jenis dadah mengikut etnik Melayu dan bukan Melayu.

Bilangan penagih dadah Melayu paling ramai iaitu 80%, Cina 7.5%, India 6.8%, Pribumi Sabah dan Sarawak 4.3% dan lain-lain 1.4% dan 70% penagih dadah berumur 20 tahun hingga 39 tahun. Jadi penyelesaian permasalahan dadah perlu mengikut sosio budaya etnik dan bukannya mengikut kaedah pukul rata.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan