Tiga rakan karib terlibat edar dadah ditahan

Mazuki (tengah) menunjukkan rampasan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah.
Mazuki (tengah) menunjukkan rampasan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah.
A
A
A

BAGAN SERAI - Tiga rakan karib yang bersekongkol dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Semanggol di sini pada Khamis.

Ketiga-tiga mereka berusia lingkungan 50-an dan bekerja kampung itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian sekitar jam 10 pagi selepas mendapat maklumat awam terdapatnya aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pemeriksaan dilakukan di kediaman itu menemukan dua ketulan mampat dadah jenis ganja seberat lebih 593 gram yang diletakkan di atas meja bahagian dapur.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan satu tiub kaca lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 3.35 gram dan satu paket lutsinar dadah jenis ganja anggaran berat 3.37 gram dalam bilik rumah itu.

"Keseluruhan nilai pasaran dadah yang dirampas adalah lebih kurang RM2,100 dan mampu dibekalkan kepada 150 penagih.

"Kita percaya bekalan dadah ini bagi edaran pasaran tempatan," katanya ketika sidang akhbar di IPD Kerian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan awal menunjukkan ketiga-tiga suspek yang merupakan penduduk setempat dan berkawan baik itu tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah termasuk dadah.

Bagaimanapun katanya, hasil ujian air kencing menunjukkan ketiga-tiga mereka positif dadah jenis THC dan methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 10 Februari ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 akta yang sama," katanya.