Gempa Lombok: Seorang rakyat kita maut, 6 hilang - Wisma Putra

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia disahkan terkorban, manakala enam lagi tidak dapat dikesan susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter yang menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada pukul 2.07 petang waktu tempatan, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Datin Tai Siew Kim, 56, yang bertugas sebagai Timbalan Eksekutif Ketua Pengarang Sin Chew Daily seperti yang dimaklumkan kepada Bernama.

Wisma Putra dalam satu kenyataan malam tadi, menyatakan mangsa yang terkoban bersama enam yang lain dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Timur ketika gempa itu melanda.

“Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan. Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan (Indonesia) belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Kementerian melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap semua mangsa serta keluarga mereka ekoran insiden itu,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut menyarankan rakyat Malaysia di kawasan terjejas untuk melapor diri di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta atau menghubungi talian +62 813 8081 3036 atau emel mwjakarta@kln.gov.my.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Malaysia di Jakarta Indonesia Mohd Hail Aniff Mohd Fauzi mengesahkan identiti mangsa berkenaan.

Gegaran dua gempa bumi berukuran lebih daripada lima skala Richter yang menggegarkan Pulau Lombok petang tadi itu mengakibatkan kejadian tanah runtuh di kawasan air terjun itu.

Artikel Berkaitan:

Gempa pertama bermagnitud 5.8 Skala Richter berlaku pukul 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24km timur laut Timur Lombok - Nusa Tenggara Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ia disusuli dengan satu lagi gempa bermagnitud 5.2 Skala Richter, berpusat di 7km barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, pukul 2.09 petang.

Ketua Protokol dan Sekretariat Pemerintah Lombok Utara, Mujaddid Muhas dalam satu kenyataan sebelum ini berkata terdapat 40 pengunjung termasuk 22 rakyat Malaysia sedang beriadah di kawasan berkenaan ketika kejadian.

Sementara itu ejen pelancong di Mataram yang hanya mahu dikenali sebagai "Pak Arno" ketika dihubungi Bernama berkata, sekumpulan pelancong Malaysia seramai 28 orang itu tiba di Lombok pada 14 Mac lepas.

"Hanya 22 orang sahaja yang ke kawasan air terjun itu, manakala enam lagi di Hotel Mascot Mataram, mereka semua sebelum ini dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur, malam esok," katanya. - Bernama