Vaksinasi untuk kanak-kanak di Labuan bermula Isnin ini

Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Ismuni
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Ismuni
A
A
A

LABUAN - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) akan dilancarkan di sini, Isnin ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, dijangkakan lebih 10,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun layak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Kami akan secara rasmi memulakan vaksinasi untuk kanak-kanak pada Isnin ini di Hospital Labuan dan kita harapkan sambutan yang baik daripada ibu bapa,” katanya pada Jumaat.

Dr Ismuni berkata, pihaknya mungkin bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Labuan bagi melaksanakan program itu di sekolah-sekolah bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad terdapat lebih 8,000 murid Tahun Satu hingga Tahun Lima di 17 sekolah rendah di pulau ini.

Sementara itu, Dr Ismuni berkata, bergantung pada maklum balas daripada ibu bapa, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada di Dewan Darul Kifayah juga boleh digunakan bagi mempercepatkan pelaksanaan program itu.

Dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di seluruh negara layak menerima vaksin tersebut dan setakat 1 Februari lalu, sebanyak 517,107 kanak-kanak telah didaftarkan menerusi aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, vaksin itu akan diberi secara percuma kepada semua kanak-kanak yang tinggal di Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan mereka.

Artikel Berkaitan:

Khairy berkata, berdasarkan data, didapati pemberian vaksin itu yang merupakan satu pertiga daripada dos dewasa tidak akan mengakibatkan kesan sampingan serius sebaliknya kesan sampingan biasa seperti demam.

PICKids dilaksanakan secara sukarela dan tiada sekatan dikenakan untuk kanak-kanak yang tidak divaksinasi. - Bernama