Penjelasan Tengku Zafrul mengecewakan: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan penjelasan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung isu pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat kapal persiaran Genting Hong Kong.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, penjelasan Tengku Zafrul itu juga dilihat tersasar dari isu sebenar yang kini mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.

“(Tengku) Zafrul menyatakan bahawa pinjaman tanpa cagaran itu adalah norma dan praktik biasa dalam sektor perbankan, dan bank tidak akan dihadapkan dengan kerugian.

“Lagak santai dan bersahaja beliau dalam memberi pencerahan tentang isu ini amat mengecewakan tatkala kita sedia maklum bahawa badan atau tabung kewangan utama negara mempunyai pertalian pelaburan yang cukup besar di dalam bank tempatan di negara ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Anwar sebelum ini mendesak Tengku Zafrul menjawab persoalan berhubung tiga bank tempatan yang dibenarkan memberi pinjaman tanpa jaminan bernilai RM2.5 bilion kepada Genting Hong Kong.

Beliau yang pernah menjadi Menteri Kewangan berkata, penjelasan perlu diberikan kerana kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga bank itu.

Susulan daripada itu, Tengku Zafrul pada 29 Januari lalu menyatakan bahawa pemberian pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat Genting Hong Kong bukan ditentukan oleh Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan atau pemegang saham.

Sebaliknya beliau berkata, keputusan itu ditentukan sendiri ketiga-tiga bank terbabit kerana setiap bank mempunyai proses usaha wajar (due diligence) dan penilaian kredit oleh Jawatankuasa Kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bayaran balik pinjaman oleh peminjam.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Anwar berkata, meskipun kenyataan Tengku Zafrul berkenaan dengan isu pengoperasian bank itu boleh dipersetujui, namun beliau berpandangan Menteri Kewangan sepatutnya menonjolkan sikap dan integriti yang tinggi dalam mengurus peruntukan dan dana.

“Terutamanya di saat ini di mana jutaan rakyat Malaysia sedang berdepan dengan masalah pengangguran, keadaan ekonomi yang belum kukuh serta masalah kemiskinan.

“Tidak kurang sebilangan rakyat yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman kerana dampak hentakan wabak Covid-19 ke atas ekonomi kita. Masalah bankrupsi yang kini dihadapi oleh segelintir yang lain ternyata satu pukulan maut.

“Kepada ‘para tauke’ yang ada ‘cable’, masalah ini dianggap ‘tidak ada kerugian material’ dan sebaliknya boleh ditangani dengan sedikit penstrukturan korporat. Kepada ahli ekonomi, ia hanya ‘risiko moral’. Namun, rakyat Malaysia melihatnya sebagai satu bentuk ketidakadilan,” ujarnya.

Jelas Anwar lagi, sebagai individu yang pernah mempunyai penglibatan bersama bank yang terbabit dalam perjanjian pinjaman tersebut, Tengku Zafrul juga sepatutnya mempunyai masa mencukupi untuk melakukan pindaan yang mampu memastikan kebaikan kepada pelanggan bank berkenaan.

“Zafrul adalah kepala Perbankan Pelaburan semasa di Maybank apabila urusan pinjaman kepada GHK (Genting Hong Kong) dibuat. Dia kemudiannya berkhidmat di dalam badan eksekutif di CIMB semasa pinjaman kepada GHK diservis.

“Dia telah menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan hampir dua tahun. Dia mempunyai kepakaran yang luas berhubung perjanjian itu, dan mempunyai masa yang cukup untuk melakukan pindaan yang mampu memastikan manfaat kepada pengguna bank.

“Tapi itu tidak berlaku. Ringkasnya, hanya ada seorang yang mampu merundingkan perjanjian yang lebih baik kepada GHK bagi pihak rakyat Malaysia iaitu Menteri Kewangan sekarang. Ternyata beliau telah gagal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan keuntungan tiga bank Malaysia, Maybank, CIMB dan RHB Bank dijangka terjejas berikutan masalah yang dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.