Gempa Lombok: Timbalan Ketua Editor Sin Chew Daily sah maut

Gempa kuat landa Lombok.
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Editor akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim disahkan meninggal dunia dalam insiden gempa bumi di Lombok, petang tadi.

Memetik laporan Malay Mail, gempa bumi berskala 5.4 richter itu yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan tanah runtuh berlaku di air terjun Tiu Kelep, Bayan yang turut memerangkap lebih 35 mangsa termasuk beberapa rakyat Malaysia.

“Kira-kira 40 pelancong terkesan akibat tanah runtuh yang berlaku di kawasan tersebut. Kebanyakannya adalah rakyat Malaysia dan pelancong tempatan,” memetik laporan Jakarta Post.

Dalam pada itu, pihak Sin Chew Daily turut mengesahkan kematian Siew Kim.

Sementara itu, Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat dan Protokol Lombok Utara, Deddy Mujaddid Muhas, memberitahu terdapat dua orang terkorban akibat insiden tanah runtuh berkenaan.

Begitupun, menurut portal berita Detik.com, tidak dapat dipastikan sama ada dua mangsa yang meninggal dunia itu adalah warga Malaysia atau tempatan.

“Terdapat kurang lebih 40 orang pelancong terkena kesan tanah runtuh di sekitar lokasi kejadian, kebanyakannya pelancong dari Malaysia dan juga tempatan.

“Lima orang sudah dipindahkan, dua orang meninggal dunia manakala yang selebihnya mengalami kecederaan, selain seorang kini dirawat di pusat kesihatan masyarakat Bayan,” jelasnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, sejumlah 40 pelancong termasuk warganegara Malaysia yang sedang menikmati keindahan air terjun di situ berdepan situasi cemas apabila gempa bumi yang melanda wilayah tersebut menyebabkan tanah runtuh.

Difahamkan, terdapat 22 pelancong rakyat Malaysia berada di lokasi alam semula jadi itu sewaktu kejadian berlaku.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia