Tular surat siasatan integriti ke atas lima pegawai Mara

Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.
Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Majlis Amanah Rakyat (Mara) tular di Twitter pada Jumaat.

Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.

Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Dun.

Isi kandungan surat itu menyatakan laporan penuh itu adalah seperti yang diarahkan oleh Azizah yang meminta supaya siasatan terperinci dibuat oleh bahagian integriti.

"Berdasarkan dokumen-dokumen dan rekod-rekod yang didapati di pejabat Mara Corporation dilampirkan di sini secara terperinci perkara yang berlaku yang melibatkan integriti pegawai-pegawai Mara yang ditempatkan di MaraCorporation.

"Perkara tersebut berlaku tanpa pengetahuan saya selaku pengarah eksekutif dan pengetahuan ahli lembaga pengarah yang lain.

"Proses pembayaran secara 'backdated' juga tidak diketahui oleh pengarah eksekutif dan ahli lembaga pengarah kerana proses tersebut dibuat oleh pegawai-pegawai Mara yang terlibat dan segala kelulusan hanya sampai diperingkat mereka sahaja.

"Maka dengan ini tiada Check and Balance di dalam pengurusan syarikat dan kewangan syarikat dalam Mara Corporation," kata surat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Antara perkara yang dibangkitkan dalam surat tersebut ialah berhubung pemberian elaun kepada pemangku ketua pegawai eksekutif tanpa pengetahuan pengarah eksekutif dan ahli lembaga pengarah.

Selain itu turut dibangkitkan ialah tuntutan berganda perbelanjaan petrol dan penyelengaraan kenderaan.

Turut didedahkan ialah penggunaan kenderaan syarikat untuk kegunaan harian dan persendirian.

Dalam pada itu Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak Mara berhubung pendedahan tersebut.