Bantah cadangan pembalakan, perlombongan di Hutan Simpan Kenderong

Meenakshi
Meenakshi
A
A
A

IPOH - Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah sekeras-kerasnya cadangan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di Hutan Simpan Kenderong, mukim Kerunai, Gerik kerana dibimbangi mencemarkan sumber air Sungai Perak.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, kawasan hutan seluas 245 hektar telah dinyahwartakan dari Hutan Simpan Kenderong untuk tujuan pelaksanaan projek tersebut yang dicadangkan oleh sebuah syarikat perlombongan.

Menurutnya, berdasarkan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), tapak cadangan projek merupakan kawasan berbukit berketinggian 320 hingga 450 meter melebihi paras laut yang juga merupakan kawasan tadahan air dengan terdapat beberapa anak sungai berdekatan dengan tapak projek mengalir ke dalam Sungai Perak.

"SAM amat kecewa kerana hutan semula jadi yang memberi perkhidmatan ekologi amat penting menjadi mangsa projek-projek perlombongan yang memusnahkan alam sekeliling. Pembersihan hutan yang dinyatakan dalam EIA sebagai pembalakan cuci mangkuk seluas 245 hektar akan membawa bencana ditambah dengan kegiatan perlombongan yang mempunyai potensi untuk mencemarkan sumber air tempatan, projek ini mengundang musibah.

"Selain dari itu, tapak yang dicadangkan adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 yang mana sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Meenakshi berkata, tapak tersebut juga terletak di dalam kawasan wilayah Rangkaian Utama-8 dalam Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang merupakan kawasan habitat spesies hidupan liar terancam dan hampir pupus seperti gajah, harimau, tapir dan beruang matahari.

Menurutnya, cadangan projek perlombongan di lokasi seperti ini akan memburukkan lagi konflik antara manusia dengan hidupan liar yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

"Tidak kira apa jenis pelan mitigasi dan pemulihan yang disyorkan oleh penggerak projek, menjalankan projek pembalakan dan perlombongan dalam satu kawasan yang sensitif sebegini akan memudaratkan kualiti alam sekeliling di sekitar kawasan projek tersebut sehingga ke satu tahap di mana sebarang pelan mitigasi atau pemulihan akan menjadi tidak berguna.

Artikel Berkaitan:

"SAM ingin mengulangi pendirian tegas kami terhadap sebarang cadangan projek yang tidak mampan, memusnahkan alam sekitar, menjejaskan sumber air, kehidupan dan mata pencarian masyarakat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggesa JAS tidak meluluskan laporan EIA cadangan projek tersebut dan kerajaan Perak mengambil langkah segera untuk membatalkan pewartaan Hutan Simpan Kenderong seterusnya mewartakan semula hutan ini sebagai Hutan Simpanan Kekal dengan pengelasan sebagai hutan tadahan air.