Penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar UTeM terkawal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) adalah terkawal dan semua pelajar yang dijangkiti diuruskan sebaiknya serta dikuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor Profesor Dr Ghazali Omar berkata, setakat hari ini (Khamis) jumlah pelajar dijangkiti tidak sampai 20 orang dan mereka berada pada tahap Kategori Satu dan Dua dengan hanya mengalami simptom demam dan batuk.

"Kita telah mengikuti langkah-langkah dan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dari segi pengasingan dan kuarantin pelajar yang dijangkiti, memberikan sokongan moral serta memastikan bekalan makanan untuk pelajar terlibat sentiasa ada.

"Semua pelajar tersebut dikuarantin di dalam kawasan UTeM dan kita juga memantau tahap kesihatan pelajar yang dijangkiti dari semasa ke semasa sehingga mereka benar-benar sihat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan 16 pemain industri di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dakwaan bahawa UTeM melaksanakan sekatan pergerakan di asrama pelajar seperti yang tular di WhatsApp, adalah tidak benar dan perkara itu dipercayai dilakukan pihak yang tidak mendapat maklumat tepat berkaitan jangkitan yang berlaku.

Sebelum itu beliau berkata, MoU yang dijalin bersama 16 pemain industri dari dalam dan luar Melaka itu adalah bagi memastikan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ditawarkan di UTeM dapat dilaksanakan secara lebih efektif.

Beliau berkata, menerusi MoU berkenaan, pelajar akan menjalani latihan industri selama setahun di syarikat atau industri terbabit sebagai pendedahan dan persediaan awal kepada mereka sebelum mula bekerja.

"Kita tidak mahu pelajar UTeM apabila masuk ke alam pekerjaan atau industri nanti, mereka tercengang-cengang dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, terutama apabila berdepan dengan aspek teknikal yang ada.

Menerusi latihan industri, pelajar tidak perlu lagi menjalani latihan komprehensif, sebaliknya mereka telah bersedia melangkah ke alam industri sekali gus menjadikan pelajar UTeM mempunyai kebolehpasaran dan meningkatkan kadar mereka diterima bekerja," katanya.

Katanya, antara skop kerjasama UTeM dengan pihak industri termasuk melaksanakan pemindahan pengetahuan serta kemahiran untuk peningkatan kemahiran tenaga pengajar fakulti dan warga industri, guna sama peralatan serta kemudahan penyelidikan dan kolaborasi melalui inisiatif projek serta pembangunan teknologi. - Bernama

Artikel Berkaitan: