Sila log masuk terlebih dahulu.

Mohamed Azam dilantik Ketua Pengarah IKIM

Mohamed Azam menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia sejak tahun 2013. - Foto FB IKIM
Mohamed Azam menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia sejak tahun 2013. - Foto FB IKIM
A
A
A

PUTRAJAYA- Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuat kuasa Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad memaklumkan, pelantikan itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Ketokohan latar belakang Mohamed Azam diyakini mampu melakar kegemilangan IKIM sebagai sebuah institusi Islam yang menjalankan kajian, penyelidikan berkaitan pemerkasaan umat Islam dalam pelbagai bidang," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Mohamed Azam, 56, seorang berpengalaman luas dalam bidang akademik, penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran serta dakwah di media.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah di Universiti Malaya pada tahun 1990 dan seterusnya menyambung pengajian di peringkat Sarjana pada tahun 1993 di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom.

"Kelulusan tertinggi beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan undang-undang pada tahun 2007 juga di University of London, United Kingdom," katanya.

Mohamed Azam menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia sejak tahun 2013.

Dalam dunia akademik di institusi pengajian tinggi, beliau bertugas sebagai pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) UiTM bermula 1990 sehingga tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Kumpulan CIMB pada tahun 2014 sehingga 2017.

Penulisan akademik serta syarahan beliau khususnya dalam bidang perundangan Islam sentiasa menjadi rujukan sehingga peringkat antarabangsa.

Idris berkata, pihaknya berharap agar Mohamed Azam dapat memperkasa aspek penerangan kefahaman Islam termasuk melalui penyiaran Islam Radio IKIM.

"Saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikan ini.

"Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah," katanya.