Pusat hiburan tawar seks melalui WeChat diserbu Imigresen

Keadaan pusat hiburan selepas diserbu Imigresen.
Keadaan pusat hiburan selepas diserbu Imigresen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat pusat hiburan yang menawarkan perkhidmatan seks warga asing menggunakan aplikasi WeChat di kawasan Setapak di sini diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) malam tadi.

Premis berkenaan beroperasi di kawasan yang dikelilingi oleh pejabat syarikat swasta dan kedai makan kononnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Difahamkan, premis berkenaan pernah beberapa kali diserbu pihak berkuasa dan terbaharu dua minggu lalu, dalam Ops Bah yang dijalankan secara bersepadu oleh pelbagai agensi penguatkuasa.

Setiap premis mempunyai aplikasi WeChat khas untuk memudahkan pelanggan membuat pemilihan dan tempahan awal diatas talian tanpa hadirkan diri ke premis tersebut bagi tujuan pemilihan wanita.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan di empat premis itu dilakukan Unit Operasi Khas (UOK) dan Pasukan Tektikal Khas (Pastak), Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Imigresen melalui Ops Gegar.

"Dua premis yang diperiksa tidak mempunyai sebarang papan tanda di letakkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Ketika serbuan, pintu masuk utama terpaksa dipecah selepas dikunci dari dalam dan penjaga premis tidak memberi kerjasama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Antara GRO ditahan dalam serbuan oleh Imigresen malam tadi.
Antara GRO ditahan dalam serbuan oleh Imigresen malam tadi.

Khairul Dzaimee berkata, terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita pelayan pelanggan (GRO) bersama penyelia premis melalui pintu belakang tetapi pergerakan tersebut disekat oleh anggota serbuan yang telah melakukan kepungan awal.

"Malah GRO yang sedang melayan pelanggan lelaki hidung belang tidak menyedari premis mereka diserbu sehingglah pegawai Imigresen mengetuk pintu bilik mereka," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan itu, Imigresen menahan seramai 41 GRO warga asing dan tiga pelanggan terdiri daripada warga China dan Bangladesh.

"Imigresen turut menahan sembilan lelaki termasuk lima warga tempatan yang bekerja sebagai pengurus, ketua dan penyelia premis untuk siasatan lanjut," katanya.

Khairul Dzaimee menambah, pihaknya mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

"Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kegiatan tidak bermoral, PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu Imigresen dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut.

"Imigresen akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membendung berlakunya kegiatan tidak bermoral bagi tujuan menjaga imej, kesejahteraan dan keamanan negara," katanya.