BSB lewat, MB Selangor mohon maaf

Amirudin ketika sidang akhbar khas BSB di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis.
Amirudin ketika sidang akhbar khas BSB di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memohon maaf susulan kelewatan penyerahan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir bagi daerah Klang dan Petaling.

Amirudin berkata, kelewatan itu disebabkan terdapat tambahan permohonan yang tinggi di daerah berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga mendapati terdapat permohonan dibuat lebih daripada sekali menyebabkan saringan kelulusan mengambil masa.

"Klang mencatatkan bilangan 77,000 permohonan dan 30,000 daripadanya masih belum diselesaikan.

"Kapasiti pembayaran dihadkan kepada 1,000 permohonan sehari menyebabkan proses agihan mengambil masa yang panjang," katanya ketika sidang akhbar khas BSB di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor yang menyerahkan satu memorandum mendesak kerajaan negeri segera mengagihkan BSB kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menambah had pembayaran kepada 2,000 ke 3,000 penerima sehari bermula minggu depan bagi mempercepatkan proses serahan BSB.

Katanya, pembayaran BSB dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung Februari ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 55,425 keluarga terjejas banjir di sembilan daerah telah menerima BSB RM1,000 setakat Rabu, manakala 13 keluarga mangsa korban banjir telah menerima RM10,000.

"Ini menjadikan sebanyak RM55.5 juta telah disalurkan setakat ini. Sehingga Khamis, sebanyak 109,000 permohonan BSB diterima oleh kerajaan negeri," katanya.