Kerajaan perakukan GITC

Ismail Sabri mempengerusikan MTVET secara telesidang di pejabatnya, pada Khamis.
Ismail Sabri mempengerusikan MTVET secara telesidang di pejabatnya, pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperakukan penubuhan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) yang secara langsung terlibat dalam pembangunan modal insan TVET negara, khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET.

"Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) kali ini telah melakar sejarah dengan memperakukan penubuhan GITC," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, mesyuarat yang disertai 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar turut bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 kementerian yang diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri," katanya.

Beliau berkata, 12 hab telah dikenal pasti termasuk automatif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Mesyuarat bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang," katanya.

Ismail Sabri berkata, inisiatif tersebut dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.

Artikel Berkaitan:

"Usaha-usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya.

Ujarnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan Satu agar pelajar boleh membuat pilihan bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

"Sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh negara yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Elemen-elemen ini berupaya menjadikan seseorang belia lebih berdikari dan mampu menyesuaikan diri dalam suasana kerjaya yang mencabar," katanya.