70 peratus kanak-kanak dijangka terima dos pertama hingga April

Khairy Jamaluddin selepas melancarkan Pelaksanaan Program Imuninasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) lima hingga bawah 12 tahun di Auditorium Hospital Tunku Azizah, pada Khamis.
Khairy Jamaluddin selepas melancarkan Pelaksanaan Program Imuninasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) lima hingga bawah 12 tahun di Auditorium Hospital Tunku Azizah, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun di Malaysia akan menerima dos suntikan pertama vaksin Covid-19 dalam tempoh dua bulan, bermula hari ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, 50 peratus atau 3.6 juta kanak-kanak seluruh negara termasuk yang berusia lima tahun akan menerima vaksin berkenaan akhir Februari ini.

"Sejak pendaftaran janji temu melalui MySejahtera dibuka semalam (Rabu), sebanyak 15 peratus kanak-kanak (5 hingga 11 tahun) didaftarkan dan ini adalah sesuatu yang amat baik dan saya yakin jumlah ini akan bertambah lagi apabila program ini diperluas di sekolah-sekolah," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pelaksanaan Program Imuninasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 hingga bawah 12 tahun di Auditorium Hospital Tunku Azizah di sini, pada Khamis.

"Tiada syarat wajib atau kelonggaran kepada kanak-kanak yang dah vaksin macam dewasa. Ini program sukarela, kita hendak beri keyakinan kepada ibu bapa untuk daftar anak mereka," katanya.

Tambah beliau, bekalan vaksin jenis Pfizer bagi dos pertama untuk kanak-kanak setakat ini adalah mencukupi.

Menurut Khairy, sejak Januari lalu sebanyak 9413 kes Covid-19 dilaporkan melibatkan kanak- kanak berusia 7 hingga 12 tahun.

"Apabila mereka (kanak-kanak) tak dilindungi vaksin ada risiko yang perlu dihadapi termasuklah boleh menghidapi kesan radang yang pelbagai dan kesan jangka masa panjang akibat covid.

"Saya sendiri daftar anak bongsu berusia enam tahun manakala dua lagi anak saya remaja sudah lengkap divaksin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai keberangkalian kanak-kanak juga perlu mendapatkan dos penggalak selepas lengkap vaksin satu dan dua Khairy berkata, setakat ini tiada syor daripada pakar terhadap keperluan itu.

"Setakat tempoh ini (3 Februari 2022) tidak ada keperluan untuk dos penggalak bagi remaja dan kanak-kanak," katanya.

Difahamkan, sehingga 1 Februari 2022, seramai 517,107 pendaftaran kanak-kanak 5 hingga 12 diaplikasi MySejahtera telah direkodkan.

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terlibat dengan PICKids adalah PPV Integrasi Mega, PPV Swasta, PPV awam, hospital sekolah dengan kerjasama KKM.