Nasib tiga beradik kehilangan ibu kandung dapat perhatian

Izham (dua kanan) menziarahi tiga beradik di Flat Taman Bakti, Pandan Indah di sini pada Rabu.
Izham (dua kanan) menziarahi tiga beradik di Flat Taman Bakti, Pandan Indah di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Nasib tiga beradik kehilangan ibu kandung akibat digilis lori tiga tan di Lebuhraya Sungai Besi mendapat perhatian Exco Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim.

Izham yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah bersama kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Pandan Indah menziarahi keluarga mangsa di Flat Taman Bakti, Pandan Indah di sini pada Rabu.

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga beradik itu masih bersekolah dan menetap bersama nenek mereka yang uzur sementara menunggu bapa mereka mendapat hak penjagaan di mahkamah.

“Insya-ALLAH, saya akan membantu keluarga ini mendapatkan rumah lebih selesa memandangkan bapa kandung mereka kini mempunyai keluarga lain dan berpendapatan rendah,” katanya di laman Facebook miliknya.

Dalam pada iru, Izham turut menyerahkan bantuan tunai dan barangan keperluan asas ketika kunjungan beliau kepada ahli keluarga mangsa terbabit bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Semoga mereka dipermudahkan urusan, mendapat rahmat dari ALLAH SWT dan semoga roh ibu mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya lagi.

Pada 24 Januari, perjalanan pulang seorang ketua jururawat pergigian sebuah hospital swasta ke rumahnya berakhir dengan tragedi selepas dia maut digilis sebuah lori tiga tan di Lebuhraya Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Mangsa, Wan Nurfarahin Mohd Radzi dilaporkan terjatuh apabila motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah lori tiga tan sebelum digilis.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan, pemandu lori terbabit mendakwa tidak sedar telah melanggar dan menggilis mangsa dalam kejadian di Lebuhraya Sungai Besi.