[VIDEO] Pemuda UMNO gesa Tengku Zafrul tarik balik pelaksanaan caj RM1 ATM

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menarik kembali pelaksanaan semula caj RM1 bagi transaksi pengeluaran wang tunai antara bank di mesin juruwang automatik (ATM) yang bermula pada bulan ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengecualian caj tersebut seharusnya diteruskan sekurang-kurangnya setahun lagi.

Jelas beliau, pelaksanaan langkah itu juga dilihat sebagai tidak prihatin kepada keadaan semasa rakyat yang masih bergelut dengan kekurangan tunai dan peluang pekerjaan di samping peningkatan berterusan harga barangan keperluan asas.

“Malahan tinjauan ekonomi bagi tahun 2022 juga menjangkakan prospek pemulihan ekonomi yang lembab bakal meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat.

“Sudahlah moratorium pinjaman bank mulai berakhir, manakala sehingga hari ini #TuntutanRakyat untuk pengeluaran kali terakhir RM10,000 wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka juga masih dipandang sepi oleh kerajaan,” kata Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis

Caj RM1 bagi transaksi pengeluaran antara bank menerusi ATM kembali dikuatkuasakan oleh bank di dalam negara bermula pada Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO tidak melihat bank akan berhadapan dengan sebarang masalah untuk menyerap caj RM1 berkenaan dengan mengambil kira keuntungan terkumpul yang diperoleh mereka pada tahun tahun lepas yang mencecah puluhan bilion.

“Justeru sekali lagi Pemuda UMNO mendesak agar Menteri Kewangan untuk lebih berpihak kepada rakyat yang sedang susah dan gelisah dengan memenuhi tuntutan mereka termasuk menarik balik keputusan untuk mengenakan caj pengeluaran ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: