Lemas: Dua sahabat mati berpelukan

No Image Caption
A
A
A

BATU KURAU - Kegembiraan empat sahabat mandi di kawasan Air Terjun Bukit Raja, Kampung Perak di sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemui mati lemas, petang tadi.

Mangsa, Mohd Zaid Aqwah Putra dari Kampung Sungai Ara dan Mohd Furqan Mohamad Yahaya dari Kampung Perak, di sini, masing-masing berusia 20 tahun, ditemui mati lemas oleh orang kampung setelah dipercayai tenggelam di kawasan lubuk air terjun itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pada jam 1.45 petang, pihaknya menerima maklumat terdapat dua lelaki disyaki mati lemas semasa mandi manda di kawasan air terjun tersebut.

Menurutnya, dua mangsa berkenaan dipercayai bersama dua lagi rakannya difahamkan pergi ke kawasan air terjun untuk bermandi manda pada jam 1 petang.

"Sewaktu mereka sedang mandi, polis difahamkan salah seorang daripada mangsa dipercayai hampir lemas setelah tenggelam di kawasan lubuk dalam.

"Susulan itu, mangsa kedua cuba membantu menyelamatkan mangsa pertama namun gagal menyebabkan kedua-duanya telah lemas," katanya kepada media di sini hari ini.

Osman berkata, polis meminta bantuan orang kampung untuk menjejaki kedua-dua mangsa lemas dan mereka akhirnya ditemui di dalam sungai kawasan air terjun itu pada jam 2.30 petang.

Lebih memilukan, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan di tempat sama mereka dipercayai lemas.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan maklumat orang kampung, dua mangsa bersama rakannya mungkin tidak menyedari kawasan tempat mereka mandi merupakan kawasan lubuk air terjun berkedalaman 12 kaki.

"Kedua-dua mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.