Jangan letak syarat beli minyak masak peket: KPDNHEP

Azman (dua kiri) melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Kampung Lalang, Baling pada Rabu.
Azman (dua kiri) melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Kampung Lalang, Baling pada Rabu.
A
A
A

BALING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran agar peniaga tidak meletakkan syarat ke atas pembelian minyak masak peket seperti mana dilaporkan sebelum ini.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, walaupun kes berkenaan adalah terpencil namun telah dikesan di beberapa negeri antaranya di Kelantan dan Selangor.

Menurutnya, perbuatan itu merupakan satu kesalahan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 sehingga boleh dikenakan kompaun, pembatalan lesen dan tindakan mahkamah.

"Kami mengesan di sesuatu tempat, peniaga mengenakan pembelian bersyarat iaitu kena beli barang lain dulu sebelum beli minyak masak peket bersubsidi satu kilogram," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat pemantauan dan pemeriksaan premis sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2022 di kawasan luar bandar di Kampung Lalang, Baling, Kedah pada Rabu.

Jelasnya, walaupun kes terbabit tidak berlaku secara meluas kerana telah berjaya dikesan KPDNHEP selain faktor kesedaran peniaga bahawa ia adalah satu kesalahan undang-undang, namun pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh negara sentiasa diteruskan.

Azman (tengah) melakukan pemeriksaan harga barang kawalan di sebuah premis di Kampung Lalang, Baling pada Rabu.
Azman (tengah) melakukan pemeriksaan harga barang kawalan di sebuah premis di Kampung Lalang, Baling pada Rabu.

"Kami sempat bertanyakan peniaga terutama yang berurusan dengan barang kawalan dan beri peringatan supaya tidak mengenakan syarat pembelian. Sekiranya pengguna ada maklumat, minta disalurkan kepada kami agar tindakan segera boleh diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan tiga peniaga di Kelantan didapati mengenakan pembelian bersyarat minyak masak peket bersubsidi yang dikesan di Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Ia berikutan penyamaran dan risikan dilakukan anggota penguat kuasa sehingga membolehkan perbuatan itu terbongkar.

Dalam pada itu, katanya, pemeriksaan SHMMP Tahun Baru Cina 2022 yang bermula pada 29 Januari akan diteruskan sehingga 4 Februari 2022.

"Sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 3,704 premis telah diperiksa di seluruh negara dan sebanyak dua kes telah diambil tindakan melibatkan kesalahan berhubung tanda harga.

"Tiada aduan diterima setakat ini. Ini menunjukkan peratus pematuhan yang sangat baik oleh peniaga iaitu sebanyak 99 peratus,"katanya.