Bomba wanita kurang, tak sampai sasaran

Zuraida beramah mesra dengan pegawai bomba pada Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Suri peringkat Terengganu di ibu pejabat JBPM Terengganu, hari ini.
Zuraida beramah mesra dengan pegawai bomba pada Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Suri peringkat Terengganu di ibu pejabat JBPM Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diminta untuk memperhebatkan kempen bagi menarik lebih ramai golongan wanita menyertai pasukan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah anggota wanita yang berkhidmat di JBPM ketika ini hanya kira-kira 600 orang, jauh daripada sasaran iaitu 4,000 anggota di seluruh negara.

“Sasaran kementerian adalah 30 peratus anggota wanita daripada perjawatan yang ada, iaitu kira-kira 14,000 orang, namun ia masih jauh dari sasaran. Sekarang ini kita ada lebih 3,000 kekosongan perjawatan bomba.

“Saya selalu turun padang dan berjumpa dengan pengarah negeri agar mereka ambil maklum dan tindakan agar dapat menarik lebih ramai wanita, terutama golongan muda untuk sertai bomba. Kita memang ada ruang untuk mereka kerana jika ada kes tertentu seperti trauma dan bencana alam, ada ketikanya kita perlukan penglibatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Suri peringkat Terengganu di ibu pejabat JBPM Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof.

Menurutnya, penglibatan golongan wanita masih lagi rendah, mungkin disebabkan tanggapan mereka skop tugas anggota bomba hanyalah memadam kebakaran, memanjat dan seumpamanya.

“Saya tak nafikan pegawai bomba wanita boleh melaksanakan tugas sebagaimana anggota lelaki seperti memadam kebakaran dan sebagainya kerana mereka terlatih.

Artikel Berkaitan:

“Tapi sebenarnya ada banyak lagi tugas yang memerlukan sentuhan orang perempuan. Jadi, mereka harus diberikan penjelasan dan penerangan tentang tugas anggota bomba yang begitu luas sebenarnya, agar mereka tertarik untuk menyertai pasukan bomba,” katanya.

Terdapat kira-kira 600 anggota bomba wanita berkhidmat dengan JBPM ketika ini yang memainkan peranan mengikut bidang tertentu, termasuk dalam Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Selain itu, ada yang berkhidmat di bahagian operasi sebagai pegawai bertugas di pusat gerakan operasi, memberi respons kepada panggilan kecemasan melibatkan pemadaman serta operasi mencari dan menyelamat.