Tak campur tangan siasatan RCI ke atas Tabung Haji: Idris

Idris (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa ribut ketika lawatan ke Dewan Tawas di Ipoh, pada Rabu.
Idris (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa ribut ketika lawatan ke Dewan Tawas di Ipoh, pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan mencampuri siasatan Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Tabung Haji (TH).

Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menjalankan siasatan itu.

"Dalam isu ini kita beri kepercayaan penuh kepada mereka. Biarlah ia menjadi satu badan bebas dan dengan kebebasan itu mereka boleh melakukan apa sahaja dalam siasatan.

"Kita tidak akan masuk campur kerana tidak mahu ia mengganggu perjalanan siasatan. Nanti hasil keputusan siasatan, mereka akan berikan penemuan siasatan tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia Agensi Di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa ribut di Dewan Tawas, pada Rabu.

Menurut Idris, masih terlalu awal untuk memperincikan siasatan RCI kerana perkara itu sedang berjalan dan masih di peringkat permulaan.

"Setakat ini belum ada (hasil siasatan) kerana baru mukadimah sahaja," katanya.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menubuhkan RCI bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai TH.

Ia antara lain bagi memastikan siasatan dalaman telus dan amanah dapat dilaksanakan bagi memastikan TH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya dianggotai enam tokoh dan pakar diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif sebagai pengerusi itu diberikan tempoh selama enam bulan bagi membuat siasatan dan menyediakan laporan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Idris berkata, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan bantuan barangan keperluan makanan dan wang tunai RM300 kepada mangsa ribut.

Katanya, bantuan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) itu disalurkan bagi membantu meringankan beban mangsa terlibat.

"Selepas dapat makluman kejadian ini, kami terus bentuk jawatankuasa untuk selaraskan bantuan.

"Walaupun sedar ramai terlibat dalam kalangan bukan Islam, tetapi itu bukan penghalang untuk membantu. Kita hidup dalam masyarakat majmuk dan kena berikan bantuan kepada mereka tanpa kira agama dan bangsa," katanya.

Pada Ahad lalu, ratusan rumah di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai musnah dalam kejadian ribut mengakibatkan kerosakan teruk di bahagian bumbung.

Kejadian itu menyebabkan sebahagian besar mangsa yang merupakan masyarakat Cina tidak dapat menyambut Tahun Baharu Cina.