Operasi padam kebakaran antara punca tekanan air rendah

Aktiviti pemadaman kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung merupakan antara faktor tekanan air rendah di Seberang Perai Selatan. (Gambar kecil: Jaseni)
Aktiviti pemadaman kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung merupakan antara faktor tekanan air rendah di Seberang Perai Selatan. (Gambar kecil: Jaseni)
A
A
A

GEORGETOWN - Cuaca panas, permintaan air yang tinggi sebelum sambutan Tahun Baharu Cina dan aktiviti pemadaman kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung merupakan faktor tekanan air rendah di Seberang Perai Selatan (SPS).

Antara yang terkesan adalah penduduk di Residensi Merbok, Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Sungai Duri dan kawasan berhampiran yang terletak lebih tinggi selain di hujung paip agihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, cuaca panas sejak awal tahun dengan hujan yang minimum antara faktor utama berlakunya kejadian tersebut.

Menurutnya, permintaan air yang tinggi sebelum sambutan Tahun Baru Cina dan aktiviti pemadaman kebakaran berterusan di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sejak 12 Januari lalu juga menjadi punca tekanan air rendah di kawasan tersebut.

"Tekanan air rendah dilaporkan berlaku di beberapa perumahan terletak di kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan di SPS.

"Walaupun anggota bomba mendapatkan air dari sungai berhampiran, namun bomba sukarela dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengambil air dari pili air PBAPP yang terletak di sekitar kawasan tapak pelupusan sampah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Jaseni, cuaca panas selain permintaan air sebelum Tahun Baharu Cina yang tinggi memburukkan lagi keadaan.

"Oleh kerana cuaca panas, maka ramai pengguna menggunakan lebih banyak air selain masyarakat Cina menggunakannya untuk membuat persiapan perayaan.

"Permintaan air di SPS juga telah meningkat dengan ketara disebabkan oleh pertumbuhan sosio ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jaseni berkata, PBAPP sedang berusaha untuk menangani isu tekanan air rendah di SPS antaranya menambah baik dan mengkonfigurasikan semula rangkaian bekalan sedia ada untuk memastikan tekanan yang baik dan konsisten.

"Kita juga akan menghubungkan paip-paip mati di lokasi strategik bagi memastikan tekanan agihan air yang baik.

Selain itu, PBAPP akan mempergiatkan pemeriksaan kebocoran, kerosakan injap atau 'air lock' dalam sesalur utama dan saluran paip serta menjalankan kerja 'de-airing' jika diperlukan.

"Kerja membaiki (atau mengganti) semua saluran paip dan injap bocor dengan segera juga akan dilakukan.

Kita juga akan membuat pemasangan 13 tangki air statik komuniti di Taman Widuri, Taman Seruling Emas, Sungai Duri, Taman Seri Putera, Sungai Duri Indah, Sungai Baong dan Kompleks Penjara Seberang Perai," katanya.

Tambahnya, lori tangki air akan dihantar sekiranya perakam tekanan PBAPP mengesan gangguan bekalan air yang melebihi 24 jam.

"PBAPP sedang berusaha untuk menangani isu tekanan air rendah yang dihadapi oleh sebahagian pengguna air di beberapa kawasan di SPS.

"Isu tekanan air rendah di SPS tidak dapat diselesaikan sepenuhnya sehingga pelaksanaan program kejuruteraan bekalan air jangka panjang yang komprehensif untuk meningkatkan pengeluaran air terawat dan menaik taraf rangkaian pengagihan air sedia ada," katanya.