Kaji dahulu sebelum swastakan agensi awam: GPMS Perak

Hasnul Faiz
Hasnul Faiz
A
A
A

IPOH - Kerajaan Pusat digesa membuat kajian menyeluruh sebelum membuat keputusan memindahkan penjawat awam ke dalam sektor swasta seperti cadangan dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Pengerusi Gabungan Pelajar-pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, pihaknya turut mempersoalkan identiti barisan penasihat Tun Dr Mahathir yang memberi cadangan sedemikian kepada beliau.

"Berdasarkan angka semasa jumlah penjawat awam di Malaysia seramai 1.7 juta iaitu dengan nisbah seorang penjawat awam bersamaan 20 rakyat.

"Jumlah itu melibatkan perbelanjaan RM80 bilion setahun bagi tujuan pembayaran gaji. Maka jika disingkap angka-angka ini, adakah perlu penjawat awam 'dikecilkan'?," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasnul Fairuz Hushin berkata, GPMS Perak melihat dari perspektif yang pelbagai dalam menyelesaikan isu ini dengan beban ditanggung kerajaan kini dilihat lebih tertumpu kepada kos mengurus sektor awam.

"Langkah pertama, GPMS berpendapat ada beberapa fungsi agensi kerajaan boleh diperbadankan malah digabungkan menjadi satu entiti.

"Sebagai contoh, Jabatan Kastam Diraja Malaysia(Kastam) antara contoh sebuah badan yang sebenarnya boleh diperbadankan segera kerana mempunyai struktur kukuh dan sumber kewangan stabil.

Menurutnya, langkah segera juga boleh diambil supaya kerajaan mampu mengurangkan beban kos mengurus jabatan itu.

Artikel Berkaitan:

"Agensi lain seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga boleh mengambil langkah sedemikian.

"Namun persoalan GPMS adalah mengapa kerajaan bersikap kontradik apabila Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) pula menjadi agensi kerajaan?," katanya.

Hasnul Fairuz berkata, pihaknya turut tidak bersetuju jika penjawat awam sedia ada dipindahkan ke mana-mana syarikat atau badan swasta.

"Tindakan ini sangat tidak adil dibuat tanpa kerelaan mereka kerana tiada jaminan lestari dan kukuh untuk mereka mampu kekal sehingga usia pencen di syarikat swasta.

"GPMS Perak turut berpendapat langkah sebaiknya perlu dibuat kerajaan adalah dengan mengawal kenaikan pangkat bagi jawatan pegawai kanan kerajaan yang dilihat cukup besar.

Menurutnya, paras gaji kakitangan berjawatan Jusa C hingga Turus bermula daripada RM15,000 hingga RM25,000 sebulan dengan beberapa imbuhan besar lain.

"Jumlah keseluruhan gaji mereka saja mampu menanggung kos sebuah jabatan dengan kekuatan 200 hingga 300 kakitangan," katanya.

Hasnul Faiz turut menegaskan kerajaan tidak boleh membuat dasar pukul rata terhadap semua penjawat awam dengan menyamakan penjawat awam di pejabat kementerian di Putrajaya dengan sub sektor penjawat lain seperti bahagian pendidikan, keselamatan dan pendidikan.

"Sebaiknya kerajaan menumpukan usaha memastikan soal kecekapan dan penyampaian berkesan berlaku dalam sektor awam dengan reformasikan institusi awam," katanya.

Pada 12 Mac lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang merangka pilihan untuk memindahkan pegawai kerajaan ke sektor swasta.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan kaji penjawat awam sertai sektor swasta

"Kita sedang meneliti untuk menumpukan apabila mereka (penjawat awam) kehilangan jawatan dalam kerajaan apakah mereka dapat jawatan lain di peringkat swasta.

"Kita ada pilihan untuk menyediakan dan memindahkan pegawai ke swasta dan kita boleh swastakan beberapa jabatan dalam kerajaan," katanya ketika sidang media di Lobi Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: Penswastaan bukan alternatif terbaik, kata Najib