Pembangunan masa depan KL perlu rentasi sempadan pentadbiran

Perancangan pembangunan masa depan Kuala Lumpur perlu merentasi sempadan pentadbirannya bagi memastikan bandar raya itu kekal kompetitif untuk bersaing dalam semua aspek dengan bandar raya lain di rantau ASEAN seperti Bangkok, Singapura dan Jakarta. - Foto 123RF
Perancangan pembangunan masa depan Kuala Lumpur perlu merentasi sempadan pentadbirannya bagi memastikan bandar raya itu kekal kompetitif untuk bersaing dalam semua aspek dengan bandar raya lain di rantau ASEAN seperti Bangkok, Singapura dan Jakarta. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perancangan pembangunan masa depan Kuala Lumpur perlu merentasi sempadan pentadbirannya bagi memastikan bandar raya itu kekal kompetitif untuk bersaing dalam semua aspek dengan bandar raya lain di rantau ASEAN seperti Bangkok, Singapura dan Jakarta, menurut pakar.

Dekan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Jamalunlaili Abdullah berkata, usaha itu perlu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama PBT di Lembah Klang bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia.

"Dalam era globalisasi sekarang, DBKL atau mana-mana PBT tidak boleh merancang dalam kawasan sendiri mereka sahaja. Usaha menjadikan Kuala Lumpur bertaraf dunia bukan berkisar di dalamnya sahaja, tapi keseluruhan metropolitan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan pelabuhan misalnya yang berada di luar Kuala Lumpur.

"Justeru, kerjasama pentadbiran merentasi sempadan dengan penglibatan bersama PBT lain di Lembah Klang penting bagi kemajuan bersama kerana pembangunan kini dan masa hadapan bersifat sebuah konurbasi (bandar gabungan),” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut Jamalunlaili berkata, pentadbiran merentasi sempadan itu merangkumi pembangunan persekitaran seperti pengurusan banjir dan pengangkutan termasuk jalan raya dan sistem rel.

"Sebagai contoh apabila kawasan Kuala Lumpur telah mempunyai kepadatan yang tinggi, ramai yang memilih untuk tinggal di luar bandar raya walaupun bekerja di sana, jadi seharusnya capaian pengangkutan awam seperti rel yang lebih efisien perlu ada bagi membolehkan mereka ulang alik ke Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, Jamalunlaili berpendapat, DBKL juga harus merancang pembangunan Kuala Lumpur sebagai bandar pintar dengan mengintegrasikan teknologi maklumat dan perkakasan pintar yang berasaskan Internet Kebendaan (IoT).

Katanya, tahap digitilasi masih lagi perlu ditingkatkan khususnya dalam pentadbiran kerajaan, pengurusan trafik, bencana selain keselamatan awam supaya sebarang tindak balas dapat dilakukan dengan cepat dan tepat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) Dr Suhardi Maulan berpandangan, kawasan hijau semulajadi dan lapang juga perlu diberi perhatian dalam perancangan masa depan Kuala Lumpur bagi mengimbangi pembangunan fizikal.

Beliau berkata, selain berusaha mengekalkan kawasan hijau dan lapang yang sedia ada, setiap daripadanya perlu mempunyai fungsi yang jelas sama ada untuk tujuan reakreasi, biodiversiti dan kawalan banjir.

"Di negara-negara maju, kawasan hijau adalah aset untuk kesejahteraan dan kesihatan penduduk di bandar,” katanya menambah pengurusan bandar raya termasuk penyelenggaraan, perlu dititik berat supaya ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh diguna pakai.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib pula mencadangkan supaya projek pembangunan mewah harus diadun bersama dengan penempatan penduduk sederhana rendah supaya tidak wujud kawasan slum.

"Kita tidak mahu seolah-olah ada kawasan itu yang komunitinya padat, terpinggir dan terasing dengan pembangunan dan fasiliti mewah yang berdekatan sehingga boleh mewujudkan polarisasi sosial.

"Sebaliknya, kemajuan di sesuatu tempat itu perlu lestari dan sesuai didiami untuk semua,” katanya dan berharap penelitian dibuat terhadap beban infrastruktur kerana ia boleh menyebabkan berlakunya banjir dan kesesakan lalu lintas.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Malaysia Raya Mohd Zainuddin Amran berharap warga kota mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi selari dengan kehidupan berjiran di bandar.

"Cabaran generasi muda sekarang ialah semangat untuk beroganisasi mereka yang kian pudar, mereka tidak mahu terlibat dengan aktiviti Rukun Tetangga, persatuan penduduk mahupun komuniti setempat...mereka bukan tidak mempunyai ruang, tapi kurang menunjukkan minat dan ambil peduli.

"Sebaliknya, dalam mengejar kemajuan, hubungan dan interaksi sosial yang baik juga penting kerana mampu menggalakkan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat sekali gus mensejahterakan kehidupan,” katanya.

Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur (1972-2022) jatuh pada 1 Februari, serentak Hari Wilayah Persekutuan 2022, bagi memperingati ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia sejak 1972. - Bernama