Beri kail, bukan lagi ikan: Mukhriz

Mukhriz (dua, kiri) menyerahkan replika cek geran peruntukan Tuisyen Harapan Waris (Keda) kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, disaksikan Muhd Kameh (kiri).
Mukhriz (dua, kiri) menyerahkan replika cek geran peruntukan Tuisyen Harapan Waris (Keda) kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, disaksikan Muhd Kameh (kiri).
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan memberi tumpuan melaksanakan aktiviti pembasmian kemiskinan, dengan mengutamakan pendekatan berkesan, berbanding berbentuk ‘one off'.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia bukan sekadar memberi kemudahan asas seperti tempat tinggal, sebaliknya kerajaan negeri mahukan pendekatan lebih lestari dengan membuka peluang kerja.

Menurutnya, agensi seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan memainkan peranan dengan menyediakan strategi pembasmian kemiskinan yang mantap.

“Kita mahu beri peluang kepada penduduk agar mampu sara hidup secara lestari, apa yang kita berikan umpama ‘kail’, bukan lagi ikan. Keda sudah berjaya laksana banyak program yang membolehkan ramai kini bebas dari kemiskinan,” katanya, selepas hadir pada perhimpunan bulanan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Keda, Muhd Kameh Abdullah.

Mukhriz yang juga Pengerusi Keda berkata, pihaknya akan menambahbaik segala perancangan berdasarkan peruntukan sedia ada untuk mencapai hasrat itu.

“Faktor penyebab kepada kemiskinan perlu dihubung kait secara menyeluruh. Faktor ekonomi bukanlah penyebab utama kemiskinan tetapi ia saling berhubungan dengan faktor sosio-budaya dan faktor-faktor lain secara kompleks,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Keda perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar sebagai antara objektif yang perlu diberi perhatian.

Artikel Berkaitan:

“Dengan menyediakan banyak peluang pekerjaan yang lebih terjamin, ia boleh diterjemahkan sebagai antara langkah membantu mempercepatkan matlamat pembasmian kemiskinan. Saya yakin dengan kepakaran dan kebolehan yang ada, Keda mampu laksanakan tanggung jawab ini,” katanya.

Mukhriz turut mengingatkan semua agensi kerajaan agar tidak meneruskan amalan terdahulu yang tidak efektif, termasuk elemen politik dalam kelulusan permohonan daripada rakyat.

“Kita lihat ada amalan unsur politik dalam kerajaan dahulu, itu yang kita mahu elak. Kita tak mahu rakyat merungut ia tetap berlaku bawah kerajaan PH.

"Kerja membantu orang miskin tidak terikat pada latar belakang politik seseorang. Kriteria sudah ada, cuma amalan itu terkeluar dari landasan,” katanya.