Isu kewangan, pengangguran buka ruang belia salah guna dadah

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu lebih proaktif membawa golongan belia terlibat dengan program latihan kerjaya, kesihatan dan kekeluargaan dalam memastikan mereka tidak terjemus dengan aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia berikutan masalah kewangan dan pengangguran akan membuka ruang kepada belia terlibat dengan jenayah terbabit ditambah golongan itu sangat mudah terpengaruh.

“Justeru, kes jenayah khususnya penyalahgunaan dadah antara perkara yang harus diberi penekanan.

Sekiranya bermaharajalela, ia akan menyekat usaha untuk membersihkan negara daripada masalah dadah atau jenayah lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, rakyat juga harus bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya melalui Ops Tapis Khas yang dilaksanakan.

Katanya, ia penting memandangkan barah dadah telah sekian lama merosakkan generasi muda yang merupakan harapan kepada negara pada masa akan datang.

“Sekiranya tidak diperbaharui pelan tindakan untuk menangani isu ini mengikut keperluan dan kaedah semasa, dikhuatiri akan lebih banyak lagi generasi kita akan hanyut ekoran penyakit dadah ini,” katanya.

Tambah Muhammad Faisal, ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang sama dalam usaha menangani anak-anak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana pemantauan ibu bapak amat penting dalam ruang komunikasi anak-anak.

Dalam dunia digital dan media terbuka, pendedahan anak-anak begitu melebar kepada semua perkara sama ada baik atau buruk.

“Jadi, perlu ada disiplin pemantauan dan juga pendidikan dari ibu bapa berkaitan penggunaan alat telekomunikasi moden agar anak-anak tidak terjebak dengan pengaruh yang salah khususnya dadah,” katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang baharu, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan pihak polis akan memerangi habis-habisan individu terlibat dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah ekoran kesan besar ditinggalkan oleh gejala itu seperti membunuh ahli keluarga sendiri kerana ingin mendapatkan wang.

Beliau berkata, Malaysia telah lama mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara.