Pencemaran kimia: Sultan Johor ikuti perkembangan

Sultan Johor sentiasa mendapatkan laporan dari semasa ke semasa.
Sultan Johor sentiasa mendapatkan laporan dari semasa ke semasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah menegaskan bahawa baginda sentiasa mengikuti perkembangan insiden pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, dari semasa ke semasa.

Titahnya, pada masa sama baginda juga sering mendapatkan laporan termasuk perkembangan terkini kerja-kerja pembersihan sisa kimia yang sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa di Sungai Kim Kim.

Selain itu, Sultan Johor bertitah, laporan berkenaan turut merangkumi jumlah semasa mangsa-mangsa yang sedang mendapatkan rawatan di hospital akibat pencemaran sisa kimia.

"Saya mengambil serius kejadian pencemaran sisa kimia yang berlaku di Pasir Gudang dan sentiasa mengikuti segala perkembangan berkaitan insiden itu.

"Malah pada hari ini juga, saya turut mendapatkan laporan terkini daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor," titah Sultan Johor kepada Royal Press Office seperti dipetik dari Facebook rasminya Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini hari ini.

Sultan Johor bertitah supaya jangan ada pihak yang sengaja membuat andaian sewenang-wenangnya bahawa baginda tidak mengambil berat insiden itu.

"Saya bersama Permaisuri Johor (Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah), malah Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim) turut melawat mangsa-mangsa di hospital.

"Pada masa sama, kami juga sering mengambil berat khususnya mengenai keperluan pasukan penyelamat supaya kerja-kerja pembersihan sisa kimia dapat dijalankan secara sempurna," titahnya.

Artikel Berkaitan: